KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan dan Ketua Setiausaha (KSU) untuk mencari kaedah bagi memperincikan pelaksanaannya dalam masa terdekat.
“Saya telah meminta Menteri Pengangkutan dan ketua setiausaha mencari kaedah supaya dalam masa terdekat turunkan mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel. Perkara itu boleh dilakukan.
“(Turunkan cukai) Itu boleh. Turun harga minyak sekarang ini tak mampu tapi cukai jalan itu boleh,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-80 Perkarangan Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Anwar, terdapat kira-kira 1.8 juta unit kenderaan diesel di seluruh negara dan meskipun jumlahnya agak kecil berbanding keseluruhan kenderaan namun pemiliknya kini berdepan tekanan akibat kenaikan harga diesel.
“(Jumlah) masih kecil ketimbang keseluruhannya tetapi bagi 1.8 juta kenderaan ini ada masalah kerana harga diesel naik,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi bagi petrol RON95 menerusi Program Budi MADANI (BUDI95) dengan tanggungan subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.
Beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini bukan hanya tertumpu kepada harga bahan api, sebaliknya turut memastikan bekalan kekal mencukupi susulan krisis bekalan global.
Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
Perdana Menteri berkata dasar luar Malaysia yang bebas dan berdaulat membolehkan negara menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat, China serta negara di Asia Barat walaupun berlaku konflik di beberapa wilayah, lapor Bernama.
“Kita (Malaysia) tidak campur dari segi ketenteraan, tidak campur sehingga menjejaskan hubungan baik kita, tetapi kita sebagai negara bebas dan berdaulat mesti bersuara kalau ada jenayah besar terhadap mana-mana negara, seperti sikap satu negara umpamanya Israel mengambil keputusan bom sekolah,” katanya.
Anwar juga menjelaskan hubungan diplomatik yang baik membantu Malaysia menangani situasi konflik antarabangsa, khususnya di Asia Barat termasuk memastikan kelancaran laluan kapal tangki minyak negara di kawasan strategik seperti Selat Hormuz. – 25 April, 2026
