HEADLINES

PAS desak laporan tahunan, audit forensik dalam isu pengurusan dana zakat

Satu audit forensik juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan, menentukan tanggungjawab serta mengesyorkan langkah pembetulan yang tepat dan berkesan

4:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan tahunan dan pendedahan prestasi terbuka hendaklah dijadikan amalan standard supaya pembayar zakat dan masyarakat mengetahui secara pasti bagaimana dana zakat diurus dan diagihkan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian dalam kenyataan hari ini bagi mengulas mengenai kontroversi berhubung pengurusan dana zakat di negeri Perlis yang kini disifatkan menimbulkan kebimbangan meluas masyarakat selain mendapat perhatian nasional.

Menurut Takiyuddin, langkah-langkah lain ialah mengadakan siasatan menyeluruh serta bebas dengan segera dan semua pihak terbabit perlu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, proses tadbir urus, kelulusan serta aliran dana hendaklah diperincikan secara telus dalam batas proses perundangan sah yang sedang berjalan.

“Satu audit forensik juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan, menentukan tanggungjawab serta mengesyorkan langkah pembetulan yang tepat dan berkesan.

“Reformasi institusi lebih luas mesti dijalankan bagi memperkukuh pengurusan dana zakat, termasuk sistem pematuhan lebih ketat, struktur tadbir urus lebih jelas serta pemantauan berkala yang tegas dan teliti,’’katanya.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan dua individu berusia 50-an dan 60-an susuan dakwaan penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an ditahan dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu, isu pengurusan zakat itu tidak wajar dipolitikkan, namun ia juga tidak boleh “disapu ke bawah karpet” kerana masyarakat mahukan akauntabiliti, sementara Islam pula menuntut tahap amanah yang lebih tinggi.

“Kontroversi ini seharusnya menjadi titik perubahan untuk memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan institusi zakat di Malaysia diurus mengikut piawaian tertinggi dari segi integriti, profesionalisme dan ihsan.

“Zakat adalah amanah suci yang merupakan tanggungjawab pembayar yang diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi manfaat golongan asnaf serta mereka yang benar-benar memerlukan.

“Berdasarkan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh banyak pihak, termasuk Pejabat Mufti Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), wujud percanggahan dan kekeliruan dari sudut bidang kuasa serta kuat kuasa undang-undang serta akauntabiliti institusi,’’ katanya.

Takiyuddin menegaskan rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat.

“Kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat dan jika keyakinan merosot atau runtuh, maka mangsa akhirnya ialah golongan miskin dan memerlukan yang bergantung pada bantuan yang cepat dan berkesan,’’ katanya.

Kontroversi itu, ujar Takiyuddin, pada asasnya adalah isu tadbir urus dan integriti dengan persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti yang sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri.

Ia juga, katanya, menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dan sistem yang berkait rapat dengan isu-isu tafsiran, kelulusan, pemantauan dan pengagihan dana zakat.

“Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali,’’ katanya. – 26 April, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related