KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh berhampiran Bukit Kiara baru-baru ini mencetuskan semula penelitian terhadap pembangunan di llereng bukit di ibu negara, selain persoalan yang dibangkitkan penduduk dan aktivis alam sekitar sama ada langkah perlindungan sedia ada dikuatkuasakan.
Menurut jurucakap Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Khairudin Rahim, Kuala Lumpur telah mempunyai dasar dan garis panduan yang komprehensif bagi mengawal pembinaan di cerun dan kawasan sensitif alam sekitar.
“Kita mempunyai semua semak dan imbang di atas kertas,” katanya dalam podcast Scoop Insight.
“Setiap mekanisme untuk memastikan pembangunan seimbang dan penjagaan alam sekitar, semuanya sudah ada.”
Namun, Khairudin berpendapat kejadian berulang berpunca daripada penguatkuasaan yang tidak konsisten serta kerapnya pengecualian diberikan.
“Dan akhirnya kembali kepada perkara yang sama, malangnya sentiasa ada pengecualian, sama ada secara terang-terangan atau terselindung, yang membawa kepada kegagalan berulang,” tambahnya.

Kejadian tanah runtuh Bukit Kiara mencerminkan pola lebih luas yang berlaku di seluruh bandar. Banjir menjadi masalah kronik walaupun pelbagai langkah mitigasi dan jaminan diberikan.
“Contohnya banjir di KL, ia masih berlaku.
“Dan anda kata ia disebabkan hujan lebat. Saya tersenyum setiap kali pihak berkuasa mengatakan banjir berlaku kerana hujan lebat,’’ katanya.
Beliau menyatakan bahawa sebahagian besar infrastruktur bandar yang dibina beberapa dekad lalu tidak direka untuk menampung pembangunan pesat dan pertambahan penduduk hari ini.
“Apabila membuat perancangan, kita perlu melihat ke hadapan.
“Sistem saliran yang dibina 30 tahun lalu tidak direka untuk peningkatan populasi lima kali ganda dan puluhan blok konkrit baharu. Tetapi saliran itu masih sama,’’ katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Friends of Bukit Kiara, Tan Boon Hua, berkata cabaran Kuala Lumpur bukan sesuatu yang unik, namun lebih ketara disebabkan urbanisasi pesat dan kepadatan penduduk.
“Ini bukan hanya masalah KL. Disebabkan KL paling padat dan berpenduduk tinggi, maka kita melihat lebih banyak kes seperti ini,’’ ujarnya.
Beliau turut merujuk kepada banyak bantahan terhadap Pelan Struktur Kuala Lumpur dan Pelan Bandar Raya sebagai bukti kebimbangan awam yang semakin meningkat terhadap keputusan pembangunan.
“Lihat sahaja jumlah semakan kehakiman yang sedang berjalan untuk mencabar kesahihan atau kewajaran pewartaan pelan bandar KL,” katanya, sambil menambah ia merupakan simptom perancangan yang tidak sempurna.
Isu sama, katanya, dapat dilihat di seluruh negara, daripada pembangunan berlebihan di kawasan bandar hingga penebangan hutan berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar.
“Ia bukan sekadar membina bangunan,” kata Boon.
“Pergi ke Cameron Highlands, lihat bagaimana hutan di sana telah ditebang.”
Dalam pada itu, Khairudin turut menyuarakan kekecewaan yang sama, menegaskan bahawa bencana alam sering disandarkan semata-mata kepada faktor cuaca berbanding kelemahan perancangan dan penguatkuasaan.
“Jika kita kembali kepada tujuan semua peraturan ini, ia sebenarnya sangat baik untuk mencegah perkara seperti ini.
“Persoalannya, bagaimana ia dilaksanakan? Adakah ia dipantau? Adakah terdapat semak dan imbang yang berkesan? Adakah pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan untuk mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,’’ soalnya.
Kejadian tanah runtuh di Jalan Abang Haji Openg pada 18 April 2026 telah mendorong arahan henti kerja serta-merta ke atas projek pembangunan lereng bukit tersebut.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan notis kompaun kepada kontraktor yang mengendalikan projek Jabatan Landskap Negara bernilai RM6 juta itu.
Bagi penduduk dan aktivis alam sekitar, insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk tadbir urus yang lebih kukuh, akauntabiliti lebih ketat, serta komitmen berterusan dalam melindungi komuniti dan alam sekitar di tengah-tengah pertumbuhan pesat Kuala Lumpur. – 1 Mei, 2026
