KUALA LUMPUR – Biro Politik Pakatan Harapan (PH) dan Umno dijangka mengadakan mesyuarat bersama untuk merundingkan beberapa perkara berkaitan perkembangan politik semasa pada jam 8 malam ini di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya.
Perkembangan itu disahkan sumber kedua-kedua parti selepas dihubungi media yang mengatakan pertemuan berkenaan dijadual berlangsung di kompleks berkenaan.
Mesyuarat yang bakal dihadiri pemimpin tertinggi PH dan Umno itu, akan turut menyentuh krisis politik terkini yang melanda Negeri Sembilan, termasuk tindakan menarik sokongan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Isu Negeri Sembilan dan beberapa perkara lain termasuk hal-hal Pilihan Raya Negeri (PRN) dibincang,” kata sumber ketika dihubungi.
Ketika ditanya kemungkinan cadangan menukar Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan dibangkit dan diputuskan, beliau berkata, ia bergantung kepada rumusan perbincangan semua pemimpin malam ini.
Kata sumber, antara tumpuan lain perbincangan malam ini adalah hal berkaitan pilihan raya terutama PRN di beberapa negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, selain perkara berkaitan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Soal kerjasama, agihan kerusi bagi PRN, ini dijangka dibincang malam ini,” katanya.
Sumber turut mengesahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan secara bersama mesyuarat itu.
Ahmad Zahid dalam temubual sempena Ulangtahun ke-80 Umno minggu lalu memaklumkan Biro Politik PH dan Umno dijadual bertemu pada minggu ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terdahulu turut mengarahkan seluruh jentera parti bersedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor susulan perkembangan politik semasa.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan gagal, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya PRN mengejut di beberapa negeri. – 5 Mei, 2026
