HEADLINES

[TONTON] Hanya setengah jam diperlukan untuk mulakan pengawasan ke atas anak-anak di Roblox, permainan dalam talian : Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Komunikasi menggalakkan ibu bapa menetapkan had dan memantau aktiviti permainan digital

2:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun sentiasa sibuk dengan dengan tugas sebagai Timbalan Menteri Komunikasi namun Teo Nie Ching memastikan beliau terlibat secara langsung dalam aktiviti dalam talian anak-anaknya dengan memantau sendiri permainan video dan media sosial mereka.

Beliau menegaskan pemantauan yang aktif serta kawalan ibu bapa adalah penting untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.

“Anak-anak saya juga bermain Roblox. Jadi sebenarnya, saya menetapkan kawalan ibu bapa bersama mereka. Saya akan mengesahkan umur mereka.

“Saya akan menetapkan had tertentu, contohnya kerana saya fikir permainan dalam Roblox juga perlu bersesuaian dengan umur,” tambah ibu kepada tiga anak itu ketika menjadi tetamu dalam program Podcast Scoop Insight baru-baru ini.

Teo Nie Ching menekankan bahawa ibu bapa perlu memikul tanggungjawab dalam mengurus akses anak-anak mereka kepada platform digital dan tidak hanya bergantung kepada peraturan kerajaan semata-mata. – Gambar Scoop, 7 Mei, 2026

Teo menekankan ibu bapa perlu memikul tanggungjawab dalam mengurus akses anak-anak mereka kepada platform digital dan tidak hanya bergantung kepada peraturan kerajaan semata-mata.

Beliau turut menyatakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengambil pendekatan lebih tegas di rumah.

“Sebagai contoh, menteri saya, Datuk Fahmi, sebenarnya melarang anak-anaknya daripada bermain Roblox.

“Kerana saya fikir pada satu tahap, beliau merasakan anak-anaknya tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Jadi beliau nyatakan tiada lagi Roblox untuk satu tempoh, saya tidak pasti berapa lama, mungkin sehingga sekarang,” katanya.

Teo berkata beliau memilih pendekatan berpandukan bimbingan berbanding larangan sepenuhnya, dengan menetapkan peraturan yang jelas kepada anak-anaknya termasuk larangan tegas terhadap permainan berunsur keganasan.

“Saya tidak suka permainan tembak-menembak. Saya perlu memastikan saya membuat pengesahan umur untuk akaun mereka supaya Roblox hanya membenarkan mereka bermain permainan yang sesuai dengan umur.

“Dan saya akan memberitahu mereka jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.

Beliau menambah pemasangan kawalan tersebut adalah mudah dan tidak mengambil masa lama, iaitu tidak lebih daripada 30 minit.

“Jadi saya rasa tidak begitu sukar untuk menyediakan semua ini. Tetapi sudah tentu, kerana saya mahu menetapkan kawalan ibu bapa ini, saya sendiri juga perlu mendaftar akaun dengan Roblox,” ujarnya.

Teo menambah kunci utama adalah mengutamakan keselamatan kanak-kanak di internet.

“Jika anda fikir ini penting, maka anda akan meluangkan masa untuk memastikan bahawa walaupun anda tidak mahu mereka kecewa, anda juga mahu mereka dibenarkan bermain Roblox bersama rakan-rakan mereka.

“Pada masa yang sama, anda juga memastikan bahawa anda telah mencuba sebaik mungkin untuk menjadikan ia persekitaran yang selamat untuk mereka,” kata Ketua Wanita DAP itu.

Ketika Malaysia bersedia melaksanakan larangan media sosial bagi individu bawah 16 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), ibu bapa diingatkan bahawa peranan mereka tetap penting memandangkan platform permainan seperti Roblox yang mempunyai fungsi sembang masih belum dikawal selia di bawah undang-undang tersebut.

Walaupun sekatan penggunaan media sosial bagi mereka yang berumur bawah 16 tahun akan berkuat kuasa, peraturan ini tidak meliputi permainan dalam talian seperti Mobile Legends: Bang Bang, Roblox, atau seperti PlayStation 5 dan Xbox Series X, yang semuanya membolehkan pemain berkomunikasi dengan rakan dan dalam sesetengah kes, orang yang tidak dikenali.

Teo menegaskan usaha melindungi kanak-kanak di internet memerlukan kerjasama antara ibu bapa, pendidik dan penyedia platform.

“Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini kepada kerajaan atau sekolah atau guru semata-mata. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, ini adalah tugas kita,” katanya. – 7 Mei, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related