HEADLINES

Grab perkenal ciri Group Ride tawar penjimatan sehingga 40% kepada penumpang

Pilihan perkongsian perjalanan baharu diperkenalkan di seluruh negara bagi mengurangkan kos perjalanan, kesesakan trafik dan menyokong usaha Malaysia ke arah penyelesaian mobiliti bandar yang lebih mampan

2:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berpotensi menikmati kos perjalanan harian yang jauh lebih murah susulan pelancaran ciri baharu ‘Group Ride’ oleh Grab Malaysia, yang membolehkan beberapa penumpang menuju ke destinasi sama atau sehala berkongsi satu kenderaan e-hailing dan membahagikan tambang.

Ciri itu, yang diperkenalkan secara rasmi hari ini menawarkan penjimatan kepada penumpang sehingga 40 peratus berbanding membuat tempahan secara individu, sejajar dengan usaha Grab menyokong seruan kerajaan untuk penyelesaian pengangkutan yang lebih cekap dan mampan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif itu melengkapi usaha kerajaan untuk mengurangkan kos pengangkutan pengguna di tengah peningkatan kos sara hidup dan kebimbangan berterusan terhadap bekalan bahan api global.

“Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan ciri baharu Group Ride oleh Grab, yang selaras dengan seruan #TanggungjawabBersama kami agar pengendali e-hailing memperluaskan perkhidmatan carpool dan mengurangkan perbelanjaan perjalanan pengguna,” katanya.

Loke berkata gangguan bekalan bahan api global akibat konflik di Asia Barat telah mendorong lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan awam dan pilihan mobiliti alternatif bagi menjimatkan kos.

Beliau berkata perkhidmatan seperti Group Ride juga boleh membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dengan integrasi lebih baik bersama sistem pengangkutan awam sedia ada termasuk rangkaian rel komuter.

“Kementerian Pengangkutan menyokong inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penambahbaikan ekosistem pengangkutan,” katanya.

Menurut Grab Malaysia, ciri baharu itu dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu kemampuan kos, kecekapan teknologi dan kelestarian menerusi tema “Kongsi Perjalanan, Kongsi Tambang”.

Group Ride membolehkan beberapa penumpang yang menuju laluan sama menyelaraskan perjalanan dalam satu tempahan, dengan aplikasi secara automatik mengoptimumkan urutan pengambilan dan penghantaran menerusi sistem penghalaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) Grab.

Antara ciri utama yang ditawarkan ialah pilihan laluan fleksibel, fungsi pembahagian tambang dan penyelarasan perjalanan secara masa nyata.

Penumpang boleh memilih sama ada berkongsi tambang secara sama rata atau membuat bayaran secara berkadar berdasarkan jarak perjalanan setiap penumpang.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata syarikat itu memperkenalkan ciri berkenaan selepas mendapati ramai pengguna sudah pun berkongsi perjalanan secara tidak rasmi bersama rakan sekerja, rakan dan ahli keluarga untuk mengurangkan kos perjalanan.

“Penumpang kami sudah lama berkongsi perjalanan untuk menjimatkan tambang terutama dalam kalangan rakan sekerja yang berulang-alik ke tempat kerja atau rakan yang menghadiri acara sama, dan perkara itu mendorong kami memperkenalkan Group Ride bagi menangani masalah mereka,” katanya.

Rashid berkata ciri itu bukan sahaja mengurangkan kos perjalanan pengguna malah membantu meningkatkan kecekapan trafik secara keseluruhan dengan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Pada masa sama, ia memberi manfaat kepada ekosistem lebih luas dengan mengoptimumkan penggunaan jalan raya, mengurangkan kesesakan dan menyokong sistem pengangkutan bandar yang lebih mampan, termasuk mengurangkan jejak karbon dan penggunaan petrol ketika gangguan bekalan global,” katanya lagi.

Grab berkata ciri keselamatan dalam perkhidmatan itu kekal disepadukan dengan ekosistem sedia ada, termasuk Pusat Keselamatan dalam aplikasi, bantuan kecemasan SOS dan teknologi pemantauan perjalanan.

Ciri itu kini diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna yang layak di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Grab. – 8 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related