HEADLINES

Kesuma sasar bantu hampir 86,000 pekerja, pelatih menerusi inisiatif PACE

Tanpa intervensi awal, kes hilang kerja diunjur melonjak sehingga 18,500 tuntutan menjelang Ogos ini mendorong Kesuma menggerakkan inisiatif PACE bernilai ratusan juta ringgit bagi menyelamatkan pekerja terjejas, kumpulan gig, dan PMKS di lima sektor kritikal

5:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh negara diramal berdepan tekanan amat sengit bermula suku kedua tahun ini, dengan unjuran kehilangan pekerjaan dijangka melonjak mencecah 18,500 tuntutan pada Ogos 2026—hampir menyamai rekod terburuk ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Bagi mengekang krisis tersebut daripada melumpuhkan ekonomi rakyat, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersiap sedia menggerakkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) yang bakal memberi manfaat kepada hampir 86,000 pekerja dan pelatih.

Inisiatif intervensi awal yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Hari Pekerja lalu itu merangkumi pelan perlindungan sosial, lonjakan kemahiran, dan pengupayaan segmen pekerja gig secara menyeluruh.

Menurut Kesuma, tempoh antara Mei hingga September tahun ini dikenal pasti sebagai fasa paling sukar buat sektor pekerjaan ekoran impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global.

Sebanyak lima sektor utama yang berisiko tinggi terjejas teruk ialah pembuatan, perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Sebagai rekod, hanya dalam tempoh 12 hari pertama Mei sahaja, sejumlah 1,227 tuntutan kehilangan pekerjaan telah pun diluluskan melibatkan sektor-sektor yang mula terkesan ini.

Bagi memastikan ‘perisai’ PACE ini kalis badai, Kesuma menyelaraskan dana dan strategi merentasi empat agensi utamanya demi memperkasa pekerja, majikan, serta PMKS:

Perkeso (Dana RM580 Juta): Memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan LINDUNG Kerjaya, menyasarkan bantuan kewangan serta penempatan semula kerja buat 56,000 individu.

HRD Corp (Dana RM100 Juta): Membuka peluang kepada 20,000 peserta (termasuk belia dan komuniti luar bandar) melalui 7 program utama seperti Vetri Madani, Elevate, dan Gig to Business (GTB) yang dijangka bermula akhir Mei ini.

PTPK (Peruntukan Tambahan RM20 Juta): Khusus untuk menyuntik latihan kemahiran dan perlindungan sosial bagi 5,000 pemandu e-hailing serta penunggang p-hailing.

TalentCorp (Geran RM10 Juta): Menyediakan Geran Padanan Latihan Industri PMKS untuk 5,000 penempatan latihan industri berbayar. Setakat ini, lebih 100 syarikat telah mendaftar, sekali gus membuka 300 peluang awal buat graduan.

Langkah agresif Kesuma ini diharapkan dapat bertindak sebagai penyerap hentakan (cushioning effect) terbaik buat pasaran buruh tempatan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar. – 21 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Malaysia’s medal tally takes a dent after key sports excluded from Glasgow Commonwealth

OCM accepts decision of badminton and squash, among others, being axed from 2026 Games as organisers plan for a leaner, more financially sustainable event

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

US returns over US$1.37b in stolen 1MDB assets to Malaysia: Azalina

While Malaysia celebrates the return of US$1.37b in misappropriated 1MDB assets from the US, Law Minister Datuk Seri Azalina Othman Said reveals that the final tally of recovered wealth remains a moving target due to market fluctuations and complex, ongoing global court battles

Related