HEADLINES

Kerajaan ikhtiar bantu pengamal media hadapi cabaran AI, ekonomi: Fahmi

Media yang bebas, media beretika sangat penting, bukan hanya untuk demokrasi negara kita, tetapi masa depan Malaysia, kata Fahmi

8:31 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media di negara ini mendepani cabaran semasa termasuk ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan ekonomi.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini disambut dalam suasana kebanyakan petugas media berasa risau tentang pekerjaan serta masa masa depan mereka.

“Tahun ini kita menyambut Hari Wartawan dalam satu suasana dengan ramai yang mungkin risau tentang pekerjaan mereka, tentang masa depan mereka akibat daripada AI dan isu-isu ekonomi.

“Tetapi insya-Allah, di pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang sedang diikhtiarkan untuk membantu rakan-rakan dalam bidang media,” katanya dalam ucapan sempena sambutan HAWANA 2026 hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata kewujudan media bebas dan beretika adalah tunjang utama kepada sistem demokrasi negara.

“Media yang bebas, media beretika sangat penting, bukan hanya untuk demokrasi negara kita, tetapi masa depan Malaysia,” katanya.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun ini dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media serta wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa. 

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia. – 29 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

Related