KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa hari ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik menikmati perlindungan menyeluruh daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja.
Langkah ini diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, yang menegaskan bahawa skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan akta tersebut berjaya memperluas jaringan keselamatan sosial di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
“Pelaksanaan skim bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.
“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya dalam kenyataan.
Caruman berperingkat mengikut fasa
Ramanan menjelaskan caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji RM6,000.
Untuk permulaan, kadar caruman ditetapkan 0.75 peratus daripada gaji bulanan, dengan majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji dan pembayaran caruman kepada Perkeso setiap bulan.
“Pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja,” jelasnya.
Lapan Faedah Utama Jamin Kebajikan PekerjaMenerusi skim ini, Perkeso memperuntukkan lapan faedah utama demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.
Selain itu, turut disediakan Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW) serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris.
Ramanan menegaskan perluasan perlindungan ini selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik global dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.
“Usaha terbaharu Perkeso menjadikan jaringan keselamatan sosial di Malaysia lebih menyeluruh, dinamik dan relevan dengan realiti semasa pasaran buruh, selain menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan tenaga kerja negara,” katanya. – 1 Jun, 2026
