KUALA LUMPUR – Bekas ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan bernilai RM98.27 juta.
Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Pembacaan semua 158 pertuduhan itu mengambil masa hampir dua jam dengan dua jurubahasa mahkamah bergilir-gilir membaca pertuduhan secara berterusan.
Memandangkan jumlah pertuduhan yang begitu banyak dan bagi mempercepatkan prosiding, Timbalan Kanan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib, telah memohon agar hanya elemen-elemen penting bagi setiap kesalahan dibacakan di mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-149, Fakhrudin selaku pegawai badan awam iaitu anggota Ikram yang diberi kuasa untuk menandatangani akaun Maybank Islamic Cawangan Bukit Bintang milik NGO itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM81,950,000 bagi sebuah syarikat pengurusan yang juga sekutu tertuduh menerusi 149 transaksi.
Bagi tuduhan 150 hingga 158, dia didakwa atas pertuduhan yang sama dengan mengarahkan pemindahan dana milik NGO itu dalam dua akaun bank miliknya sendiri berjumlah RM16,320,315.20 menerusi sembilan transaksi.
Sabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan, lapor Malaysia Gazette.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat pertubuhan tersebut Cawangan Hulu Selangor, Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.Sementara itu, sebutan kes ditetapkan pada 7 Ogos 2026.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib yang mengendalikan kes tersebut mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta kepada tertuduh.
Namun peguam tertuduh, Datuk N. Sivananthan merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan semua akaun peribadi termasuk akaun milik syarikatnya serta kereta dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim membenarkan ikat jamin RM500,000 kepada tertuduh dan diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mohd Nasir menetapkan sebutan kes ditetapkan pada 7 Ogos 2026. – 16 Jun, 2026
