KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini,
Menurut Mohd Puad, 69, keputusan itu dibuat sejak setahun lalu dengan usia merupakan faktor utama beliau mengambil pendirian tersebut.
Perkara berkenaan juga , katanya, telah dimaklumkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dua minggu lalu.
‘Saya sudah berusia 69 tahun. Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai di usia tersebut mahu bertanding lagi di kerusi DUN. Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri.
“Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Puad yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Johor berkata demikian ketika mengulas mengenai spekulasi bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRN Johor, 11 Julai ini.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beliau turut memberikan cadangan mengenai ciri-ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan dan mereka mesti berkelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan serta faham hala tuju bangsa.
“Saya harap Datuk Onn Hafiz menerima dan melaksanakannya,’’ katanya.
Mohd Puad turut memaklumkan, buat sementara waktu beliau akan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu diberi perhatian sebelum penamaan calon.
“Selama empat tahun lebih saya menjadi YB (Yang Berhomat) yang duduk di kawasan. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit.
“Saya berterima kasih kepada rakyat Rengit di atas budi baik mereka. Terima kasih juga kepada penjawat awam khususnya ketua-ketua Ketua kampung dan masyarakat Cina yang memberikan kerjasama mereka,’’ katanya. – 17 Jun, 2026
