Jadi ejen korporat Perkeso, Seniman dan Profima gesa penggiat seni daftar segera caruman percuma SKSPS

Penggiat seni tidak perlu membayar sebarang caruman pada tahun ini kerana caruman sebanyak 90% ditanggung kerajaan, manakala 10% lagi oleh Finas

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) menyambut baik usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menanggung 10% caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi 4,500 penggiat seni selama setahun.

Sebelum ini, caruman sebanyak 90% ditanggung pihak kerajaan melalui peruntukan belanjawan, sekali gus menjadikan pekerja industri kreatif hiburan tidak perlu membayar apa-apa caruman sepanjang tempoh tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua persatuan yang dilantik menjadi ejen korporat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa pekerja industri kreatif hiburan membuat pendaftaran segera agar mereka berpeluang menikimati caruman yang diberikan secara percuma pada tahun ini.

Presiden Profima, Khalil Salleh ketika dihubungi Scoop berkata, pihaknya bersyukur kerana apa yang diperjuangkan selama ini menjadi kenyataan kerana itulah syarat wajib permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas).

Khalil Salleh menggesa pekerja industri kreatif hiburan membuat pendaftaran segera agar mereka berpeluang menikmati caruman Perkeso yang diberikan secara percuma tahun ini. – Gambar Khalil Salleh, 25 April, 2024

“Mana-mana produksi yang ingin membuat penggambaran, semua tenaga produksi perlu mencarum Perkeso. Begitu juga jika pekerja filem ingin berdaftar dengan Profima atau memperbaharui keahlian mereka.

“Ini satu permulaan yang baik kerana terlalu banyak sangat aduan yang diterima daripada sektor pekerja (industri kreatif hiburan)apabila mereka berdepan dengan kemalangan sewaktu bekerja dan tidak dilindungi Perkeso.

“Sebelum ini, sudah dua tahun kami berusaha turun naik ke Perkeso dan berjumpa sendiri dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed untuk ahli persatuan mencarum Perkeso.

“Namun, perkara itu tidak begitu diendahkan. Kalau tiada syarat wajib atau paksaan, memang sukar bagi pekerja filem untuk mencarum dan ketika itu, kerajaan juga tidak begitu memberikan fokus akan isu ini,” katanya.

Menurut Khalil, dia juga berharap kerajaan akan terus memberi bantuan seumpama ini pada masa hadapan.

“Kalau dulu subsidi diberikan sebanyak 80%, kini sudah jadi 90%. Kita harap, bajet tahun hadapan juga, kerajaan akan masukkan. Apa pun terima kasih kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Finas dan Perkeso kerana memahami kehendak kami,” katanya.

Presiden Seniman, Zed Zaidi (empat, kiri) menjelaskan, kerajaan memberikan subsidi 90% dengan jumlah RM209.52 (setahun) untuk caruman di bawah SKSPS, manakala Finas membayar RM23.28. – Gambar Perkeso, 25 April, 2024

Sementara itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi pula berkata, semua pekerja industri kreatif hiburan sama ada dalam bidang perfileman dan muzik boleh membuat pendaftaran segera dengan persatuan itu mahupun Profima.

“Sebetulnya terdapat empat pelan caruman di dalam SKSPS. Pelan yang diambil untuk pekerja industri krearif ini adalah pelan kedua, yang mana ia berjumlah RM232.80 setahun.

“Kerajaan telahpun memberikan subsidi bayaran sebanyak 90% dengan jumlah RM209.52, manakala Finas pula sekarang ini membayar RM23.28. Kalau Finas tidak menaja sebanyak 10%, bermakna jumlah itulah yang perlu dibayar penggiat seni.

“Tapi sekarang ini, caruman sudah diberikan secara percuma. Jadi, kalau tidak mahu ambil inisiatif ini, sayanglah kerana caruman percuma ini hanya diberikan untuk tahun ini sahaja,” katanya.

Jelas Zed, sebelum ini, Seniman telah berusaha untuk mengambil insurans perlindungan secara berkelompok untuk ahli persatuan.

“Apabila mereka membayar yuran keahlian, secara automatik mereka juga sudah mencarum di dalam insurans perlindungan secara berkelompok itu.

“Kita memang ingin mengumumkan usaha kita itu tapi kemudian berlakunya penularan wabak Covid-19. Tapi, sekarang ini, kita fokus dengan Perkeso sahaja. – 26 April, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related