HEADLINES

PH umum 56 calon PRN Johor

Dalam majlis di Tangkak malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai penuh 56 calon Pakatan Harapan bagi PRN Johor, menampilkan gabungan penyandang dan muka baharu daripada PKR, DAP serta Amanah, termasuk nama besar seperti Dr Maszlee Malik, Datuk Dzulkefly Ahmad dan Datuk Suhaizan Kaiat

9:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) malam tadi mengumumkan senarai penuh 56 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, melibatkan penyandang serta muka baharu daripada PKR, DAP dan Amanah.

Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, dalam satu majlis di Tangkak, Johor.

Satu-satunya penyandang daripada PKR, Arthur Chiong, akan mempertahankan kerusi Bukit Batu. Turut dinamakan 19 calon lain termasuk bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang akan bertanding di Puteri Wangsa, serta bekas Adun Semerah, Khuzzan Abu Bakar yang kembali mencuba di kerusi sama dimenanginya pada 2018.

PKR juga meletakkan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di Senggarang.

Senarai penuh 17 calon DAP turut menyaksikan gabungan muka lama dan baharu. Antara muka baharu ialah calon Paloh, Dr Ruban Arumugam.

Sebelum ini, parti itu telah mengumumkan lima calon iaitu peguam Chu Poh Yee (Mengkibol), Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram), Ketua Pemuda DAP Johor, Lee Wern Yiing (Johor Jaya), bekas penyandang Wong Bor Yang (Senai) serta pembantu khas Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Mohamad Shafwan Ani (Bukit Permai).

Berbeza dengan spekulasi sebelum ini, Ketua Amanah Johor Datuk Aminolhuda Hassan tidak tersenarai dalam senarai 19 calon parti itu.

Sebaliknya, Naib Ketua Amanah Johor, Zuhan Zain diumumkan sebagai calon PH bagi Mahkota, manakala bekas Adun Kota Iskandar, Datuk Dzulkefly Ahmad bertanding semula di kerusi yang dimenanginya pada 2018.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Suhaizan Kaiat akan bertanding di Larkin, manakala satu-satunya penyandang daripada Amanah, Nazri Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Simpang Jeram.

Amanah turut menampilkan muka baharu termasuk peguam Norhafiz Roslan di Machap — kerusi yang kini disandang Menteri Besar sementara Datuk Onn Hafiz Ghazi — serta calon Cina pertama Amanah, Teo Siew Hui di Permas. – 23 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related