◉ HEADLINES

Usaha perkukuh institusi kehakiman syariah tidak bertujuan menjejaskan hak bukan Islam : Anwar

Anwar berkata tujuan asal peruntukan perlembagaan yang diperkenalkan pada penghujung 1980-an itu adalah untuk memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara yang melibatkan umat Islam, tanpa mencampuri urusan penganut agama lain

3:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuhkan institusi kehakiman syariah termasuk cadangan berkaitan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bukan bertujuan menjejaskan hak masyarakat bukan Islam.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan asal peruntukan perlembagaan yang diperkenalkan pada penghujung 1980-an itu adalah untuk memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara yang melibatkan umat Islam, tanpa mencampuri urusan penganut agama lain.

“Kita sama sekali tidak berniat untuk mencabuli hak orang bukan Islam. Apa yang kita mahu tegakkan ialah keadilan, bukannya menafikan hak orang bukan Islam dalam hal berkaitan agama mereka.

“Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah berhubung undang-undang Islam dan masyarakat Islam. Pada pandangan saya, itu adalah adil,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 yang diadakan di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi memperkukuh akses kepada perkhidmatan bantuan guaman syarie untuk golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, peruntukan kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia itu akan disalurkan melalui Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) bagi memperluaskan akses kepada khidmat guaman untuk mereka yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan guaman syarie, khususnya golongan miskin dan ibu tunggal.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata beliau sebelum ini telah memberi jaminan kepada pemimpin masyarakat bukan Islam bahawa cadangan pindaan terhadap Perkara 121(1A) tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk menghakis hak mereka.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mengabaikan usaha memperkukuh institusi Islam, sambil menegaskan bahawa semua cadangan berkaitan institusi kehakiman Syariah telah diberi pertimbangan sewajarnya di peringkat Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan daripada menteri bukan Islam.

“Sepanjang lebih tiga tahun saya menjadi Perdana Menteri, tidak ada satu pun cadangan berkaitan peningkatan peruntukan atau usaha memperkukuh Mahkamah Syariah yang dibantah oleh mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Melayu,” katanya.

Bagi memperkukuh lagi sistem kehakiman Syariah, Anwar mencadangkan satu sesi libat urus khas yang melibatkan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, ketua-ketua Mahkamah Syariah serta wakil daripada profesion guaman syarie.

Beliau berkata sesi itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan daripada pengamal undang-undang bagi memperkukuh keupayaan dan kedudukan institusi kehakiman Syariah.

“Saya akan memberi keutamaan kepada pandangan yang difikirkan perlu dan penting,” katanya. – 27 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

‘Siapa dia nak tentukan saya boleh sertai PN atau tidak’ Hamzah bidas Muhyiddin

'Kalau sayalah jadi presiden, walaupun saya adalah pengasas parti, tapi kalau dah ramai sangat berhenti, maka itu menunjukkan parti ini tiada lagi dokongan daripada pemimpin bahagian, kata Hamzah

So close yet so far for Aaron-Wooi Yik, emerges as Malaysia Open 2026 runners-up

The world No. 2 pair lost a hard‑fought final to South Korea’s Kim Won Ho–Seo Seung Jae

Sistem apa nak guna untuk pengagihan subsidi RON95? Mykad atau sistem khas, soal Ka Siong

'Sebelum ini saya cadangkan subsidi petrol ditentukan berdasarkan jenis dan nilai kenderaan, bukan berdasarkan kepada pendapatan individu semata-mata,' kata Wee Ka Siong

◉ Related