KUALA LUMPUR – “Dakwaan bahawa kontrak tersebut tidak mempunyai klausa yang melindungi kepentingan Kerajaan adalah tidak tepat,” demikian tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan bertulis di laman Parlimen semalam.
Beliau menyangkal dakwaan bahawa kontrak perolehan peluru berpandu antikapal dengan syarikat Norway itu tiada klausa yang melindungi kepentingan Malaysia.
Khaled menerangkan kepada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) bahawa kontrak dengan Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) itu mengandungi peruntukan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan kontrak atau pelanggaran obligasi oleh pihak yang berkenaan.
“Kementerian sedang menggunakan peruntukan yang tersedia dalam kontrak untuk melindungi kepentingan kerajaan, termasuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan semula bayaran serta ganti rugi yang berkaitan.”
Kerajaan Norway dilapor menarik balik lesen eksport ‘Naval Strike Missile’ (NSM) kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.Menurut laman web KDA, kontrak perolehan NSM dimeterai dengan tentera laut pada April 2018 bernilai €124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pertahanan menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat berkenaan.
Hassan dalam pertanyaan sebelum itu meminta menteri menyatakan mengapa kontrak antara tentera laut dengan KDA tidak ada klausa yang melindungi kepentingan Malaysia.
Beliau juga bertanya mengapa kerajaan melepaskan bayaran penuh nilai kontrak RM571.9 juta terlalu awal.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan telah menjelaskan bayaran mencecah 95% daripada jumlah kontrak keseluruhan, menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Menjawab pertanyaan Hassan mengenai isu bayaran tersebut, Khaled menerangkan bahawa pembayaran yang dibuat kepada syarikat pembekal adalah bukan bayaran pendahuluan.
Pembayaran sebaliknya dilaksanakan mengikut terma kontrak berdasarkan kemajuan kerja yang telah disahkan.
“Pada ketika pembayaran dibuat, semua sistem NSM telah siap dihasilkan, berjaya melepasi ujian yang ditetapkan oleh tentera laut serta berada dalam keadaan sedia untuk dihantar ke Malaysia.
“Justeru, pembayaran dibuat selaras dengan syarat kontrak, bukannya secara pendahuluan tanpa kemajuan fizikal,” katanya. – 2 Julai, 2026
