HEADLINES

Siasatan belum selesai, RCI isu saham Azam Baki, ‘mafia korporat’ SPRM belum boleh ditubuhkan

Azalina Othman Said menegaskan bahawa proses siasatan oleh pihak berkuasa perlu diberi ruang sepenuhnya bagi memastikan setiap tindakan berpandukan fakta dan keadilan

10:34 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi itu tidak boleh ditubuhkan selagi siasatan pihak berkuasa belum selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata buat masa ini siasatan oleh pihak berkuasa sedang dijalankan bagi meneliti semua dakwaan untuk mendapatkan fakta lengkap serta sahih.

“Justeru, proses siasatan perlu diberi ruang untuk dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

“Kerajaan juga yakin bahawa sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan kepada hasil siasatan berkenaan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Kenyataan tersebut dikemukakan beliau melalui jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Guan Eng sebelum itu mempersoalkan mengapa RCI tidak ditubuhkan ke atas pemilikan saham Azam Baki yang didakwa melebihi had penjawat awam, selain dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’ dalam SPRM.

Prosedur ketat penubuhan RCI

Menjelaskan lebih lanjut, Azalina berkata penubuhan RCI bukanlah satu proses yang ringkas kerana ia tertakluk kepada peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) serta memerlukan kelulusan Kabinet dan perkenan Diraja.

“Setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan berkenaan untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan membabitkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang akan dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya itu memulakan fungsinya,” jelasnya.

Kerajaan sentiasa terbuka demi kepentingan awam

Meskipun perlu melalui proses perundangan yang ditetapkan, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau mekanisme lain jika terdapat keperluan mendesak demi kepentingan masyarakat.

“Sehubungan itu, sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu mafia korporat dan perkara berkaitan akan dibuat berdasarkan proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang dengan mengambil kira fakta, dapatan serta perkembangan semasa hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam,” katanya lagi. – 8 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related