HEADLINES

Nga Kor Ming digesa tunai janji letak jawatan demi maruah

Nga, sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama yang akan meletak jawatan jika BN menang dalam PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan

9:20 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang sebelum ini dilaporkan berkata mahu meletak jawatan jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan, didesak menunaikan janji berkenaan.

Desakan bukan sahaja daripada beberapa pemimpin PAS dan Umno, malah penyokong BN turut meminta Nga berbuat demikian demi maruah selepas BN menang besar dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN semalam.

Antaranya ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh, dengan nada sindiran bersedia untuk merangka surat letak jawatan untuk Nga, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kalau kamu tidak tahu nak buat surat letak jawatan,meh sini aku buatkan,’’ katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook.

Nga, sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama yang akan meletak jawatan jika BN menang dalam PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, dan turut membayangkan DAP akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti terbabit.

Pada PRN Johor ke-16, BN berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan itu menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada 2022 sekali gus kali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.

SPR mengeluarkan keputusan lengkap pada kira-kira 1 pagi tadi, dengan yang terakhir diperoleh ialah DUN Puteri Wangsa sekali gus menyaksikan PH menang di lapan kerusi.

Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) pula gagal memenangi sebarang kerusi manakala enam calon Bebas yang bertanding turut berdepan nasib serupa.

DAP, sebaliknya, menyaksikan 10 kerusinya berkurangan kepada enam, dengan tiga tewas kepada MCA dan satu kepada MIC (Perling), sambil kekal di kerusi Bentayan, Mengkibol, Stulang, Penggaram, Senai dan Skudai.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula dalam hantaran ringkas di Facebooknya membangkitkan persoalan sama ada Nga akan mengotakan janji meletak jawatan.

“Adakah akan dikotakan janji ini,’’ soalnya sambil memuatnaik poster kenyataan Nga mengenai perletakan jawatan itu.

Sementara netizen menerusi media sosial turut menyindir Nga dengan merangka surat peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai menunaikan janji.

“Saya, Nga Kor Ming dengan penuh rasa tanggungjawab ingin memaklumkan bahawa saya akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Bukan sebab kerusi pejabat tak selesa, bukan sebab kopi di kementerian kurang manis, tetapi kerana saya pernah membuat janji kepada rakyat.

“Saya pernah kata, jika Barisan Nasional menang PRN Johor, “saya akan letak jawatan”. Jadi hari ini, saya memilih untuk pegang kata-kata sendiri,’’ demikian sindiran tersebut. – 12 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related