HEADLINES

Skandal eFishery: SPRM siasat manipulasi penyata kewangan pelaburan RM200j KWAP

Suntikan modal Siri D berjumlah US$47.7 juta oleh KWAP pada 2023 kini berada di bawah radar SPRM selepas pengurusan eFishery didakwa sengaja menaikkan angka hasil syarikat demi memikat pelabur luar

4:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan mega berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Siasatan ini menyusul selepas pendedahan mengejutkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) di Parlimen, yang mengesahkan dana persaraan penjawat awam itu menjadi mangsa penipuan terancang akibat manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan syarikat pemula (startup) tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan sebuah pasukan khas dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk semalam bagi meneliti keseluruhan proses pelaburan berkenaan.

“SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mencetuskan spekulasi liar yang boleh menjejaskan integriti siasatan serta mengelirukan masyarakat.

Penipuan terancang dan laporan palsu

Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas MOF mendedahkan bahawa eFishery didakwa memanipulasi penyata kewangan mereka dengan menaikkan angka hasil syarikat jauh lebih tinggi daripada jumlah sebenar bagi menarik minat pelabur luar.

Menurut laporan media kewangan DealStreetAsia, KWAP sebelum ini telah menyuntik dana kira-kira USD47.7 juta (RM200 juta) ke dalam pusingan pembiayaan Siri D syarikat akuakultur itu pada tahun 2023.

Susulan penipuan yang terbongkar ini, MOF memaklumkan bahawa konsortium pelabur antarabangsa, termasuk KWAP, telah mengambil langkah agresif untuk menyelamatkan dana tersebut.

“Konsortium pelabur telah memulakan tindakan undang-undang dan meneruskan usaha mendapatkan semula dana yang terjejas.

“Pada masa sama, semakan tatakelola dalaman sedang dijalankan bagi memperkukuh kawalan keselamatan pelaburan pada masa hadapan,” menurut jawapan bertulis kementerian itu.

Siasatan SPRM dijangka memberi tumpuan kepada proses kelulusan usaha wajar (due diligence) yang dilakukan sebelum dana RM200 juta tersebut dilepaskan kepada syarikat asing berkenaan. – 18 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related