HEADLINES

Siasatan RCI bermula: Lapan pegawai SPRM digerakkan ke ibu pejabat TH

Susulan pendedahan RCI dan arahan Perdana Menteri, SPRM mula menyelongkar dokumen di bangunan TH pagi ini serta memburu individu berkepentingan bagi membongkar salah guna kuasa dan penyelewengan

1:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini secara rasmi memulakan siasatan berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menggerakkan lapan pegawainya ke ibu pejabat institusi itu pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan pantas itu diambil susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi penguat kuasa mengambil tindakan susulan berikutan laporan RCI yang mula didedahkan kepada umum pada Rabu lalu.

“Pasukan siasatan telah masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini bagi mengenal pasti dokumentasi berkaitan perkara yang dinyatakan dalam RCI serta perkara berkaitan dengan siasatan di bawah SPRM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Abd Halim menegaskan bahawa pihak suruhanjaya kini dalam proses mengesan beberapa individu berkepentingan untuk dipanggil bagi merakam keterangan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Mengulas lanjut mengenai sama ada pimpinan tertinggi serta bekas kepimpinan TH bakal dipanggil, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut dan menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan penemuan RCI akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Kami juga sedang mengesan beberapa individu yang akan dipanggil bagi dirakam keterangan mereka, selain meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan. Sebarang dokumen yang diperlukan dan mempunyai kaitan dengan siasatan akan diambil dan diteliti bagi membuat rumusan hasil siasatan,” jelas beliau sambil menambah bahawa skop siasatan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu sebaliknya berpandukan sepenuhnya kepada penemuan dan syor laporan RCI.

Langkah penguatkuasaan ini menyusul selepas SPRM menubuhkan pasukan khas bagi meneliti isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

Pasukan khas tersebut diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar.

Siasatan ini memfokuskan kepada dapatan RCI bagi tempoh pengurusan dan operasi TH dari tahun 2014 hingga 2020 yang menemui wujudnya transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat.

Laporan RCI yang dimuat naik dalam portal rasmi JAKIM itu antara lain menggesa audit forensik dijalankan bagi meneliti keputusan pelaburan lampau yang mengakibatkan susutan nilai aset TH secara kritikal. – 31 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related