HEADLINES

Tiada wakil PH akan dilantik sebagai Exco Negeri Sembilan

Sebelum ini wujud dakwaan di media sosial bahawa kemungkinan ada wakil dari Pakatan Harapan akan dilantik menjadi Exco, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kestabilan politik serta membentuk sebuah kerajaan yang lebih inklusif

12:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menafikan dakwaan ada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, seperti tular di media sosial.

Menurutnya, jika benar perkara itu berlaku, sudah pasti Adun-Adun yang baharu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan dibawa berbincang mengenainya.

“Tidak benar wakil rakyat Pakatan Harapan akan menganggotai barisan Exco, sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu ia ada dibincangkan terlebih dahulu bersama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang baharu memenangi Pilihan Raya Negeri Sembilan Ke-16 (PRN16).

“Kalau perkara itu benar-benar akan berlaku, sudah semestinya kami sebagai calon BN Negeri Sembilan yang baharu memenangi PRN yang lalu akan dibawa berbincang mengenainya

“Perkara ini tidak benar, malah tidak pernah dibincangkan sama sekali sehingga hari ini,” katanya yang dipetik dari BH.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan barisan Exco dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Menurutnya, senarai calon Exco masih belum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, selain perlu melalui pertimbangan di peringkat parti.

Bagaimanapun wujud dakwaan di media sosial bahawa kemungkinan ada wakil dari Pakatan Harapan akan dilantik sebagai Exco sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kestabilan politik serta membentuk sebuah kerajaan yang lebih inklusif

PRN Negeri Sembilan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi, PH (11) dan Perikatan Nasional (tujuh).

Mengulas lanjut, Saiful berharap semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dan turut mengingatkan rakyat Negeri Sembilan sudah membuat pilihan dan semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri, bukannya terus berpolitik.

“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan, kini kita harus terus bekerja dan bukannya membuang masa bermain politik sepanjang masa,” katanya. – 5 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

RM950mil scrap metal tax evasion probe: MACC raids NationGate subsidiary

Electronics manufacturer says it is cooperating with authorities, taken steps to ensure operations remain unaffected after yesterday’s raid

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Related