HEADLINES

PAS lebih berpengaruh dalam PN, perlu berani tuntut kerusi DUN Nenggiri daripada Bersatu

Umum mengetahui PAS dan Bersatu masing-masing mahu menampilkan calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Nenggiri

8:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — PAS yang lebih berpengaruh dalam Perikatan Nasional (PN) perlu berani bersuara dalam gabungan itu dengan menuntut agar kerusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ditandingi calon mereka.

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, peluang untuk meneruskan momentum kemenangan di Sungai Bakap dilihat lebih besar sekiranya diletakkan calon PAS berbanding Bersatu.

Menurutnya, beliau yakin PAS akan memperoleh kerusi DUN Nenggiri kerana masalah dalaman Bersatu masih belum selesai sehingga ada ahlinya yang berpaling tadah.

Profesor Madya Azmi Hassan yakin PAS akan memperoleh kerusi DUN Nenggiri kerana masalah dalaman Bersatu masih belum selesai sehingga ada ahlinya yang berpaling tadah – Gambar Bernama, 8 Julai, 2024

“PAS juga kerajaan negeri, kalau ditambah faktor ini Bersatu pasti mengalah, walaupun mereka kata mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. Hakikatnya kemenangan Bersatu di Nenggiri (majoriti) tidak banyak, itu pun dengan bantuan PAS.

“Kalau kata PAS mengalah dan Bersatu tekad meletakkan calon mereka juga, maka sudah pasti pengundi PAS yang ramai di Nenggiri itu akan melakukan protes dan memboikot calon Bersatu.

“Ini dilema kepada Bersatu, bukan kepada PAS. Jadi hakikatnya kita tahu siapa yang lebih berpengaruh dalam PN,” katanya.

Beliau berkata, PAS kini dilihat semakin kuat terutama dominan di kerusi majoriti Melayu, jauh mengatasi Bersatu mahupun Umno dan kemenangan di Sungai Bakap membuktikannya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali berkata, PAS mempunyai sebab untuk meminta laluan bagi bertanding di PRK Nenggiri.

“PAS memang hendak kerusi itu, mereka macam orang kecewa sebab dah beri kepada Bersatu tiba-tiba dikhianati, jadi tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“PAS rasa boleh menang kalau bertanding di Nenggiri sebab Bersatu tiada pengaruh di situ dan sebelum ini jentera PAS yang banyak membantu,” katanya.

Profesor Madya Mazlan Ali berkata, walaupun PAS rasa boleh menang di Nenggiri, parti itu bagaimanapun perlu menghormati kerjasama dan perkongsian kuasa dalam gabungan PN – Gambar media sosial, 8 Julai, 2024

Beliau berkata, PAS bagaimana perlu menghormati kerjasama dan perkongsian kuasa dalam gabungan PN.

“Ini kerusi Bersatu, walaupun PAS ada kemampuan untuk menang dan boleh bertanding sendiri, ada jentera tetapi jika mahu harmoni, PAS kena hormati kerusi Bersatu,” katanya.

Umum mengetahui apabila PAS dan Bersatu masing-masing mahu menampilkan calon mereka untuk bertanding pada PRK Nenggiri.

Terdahulu, pada PRK Sungai Bakap menyaksikan kemenangan calon PAS, Abidin Ismail yang menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dengan majoriti 4,267 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang. – 8 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Related