◉ HEADLINES

KKM tawar vaksin Tdap percuma kepada ibu mengandung

Vaksin Tdap (tetanus, difteria dan pertusis) ditawarkan di semua fasiliti kesihatan primer KKM yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara

1:24 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pemberian imunisasi Tdap (tetanus, difteria dan pertusis) untuk ibu mengandung dengan usia kehamilan antara 28 hingga 32 minggu mula ditawarkan secara percuma hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata vaksin Tdap ditawarkan di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara.

“Vaksin ini bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi baru lahir yang sangat terdedah kepada komplikasi pertusis atau batuk kokol sebelum melengkapkan jadual vaksinasi. 

“Kajian antarabangsa juga telah menunjukkan bahawa vaksin ini selamat dan berkesan, tanpa meningkatkan risiko kepada ibu atau bayi,” katanya pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dzulkelfly berkata KKM tidak mewajibkan ibu mengandung untuk mengambil vaksin Tdap, namun amat menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin itu.

Beliau berkata selain vaksin untuk ibu mengandung yang juga inisiatif di bawah strategi imunisasi sepanjang hayat, KKM turut mula melaksanakan Program Vaksin Influenza untuk warga emas, dilancarkan pada 18 Feb lepas, dengan menyasarkan mereka berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik.

Dzulkefly berkata setakat semalam, seramai 97,355 warga emas telah menerima vaksin influenza itu di fasiliti KKM.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata dasar vaksinasi negara sentiasa disemak berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan antarabangsa, justeru itu beliau menegaskan semua vaksin yang digunakan di Malaysia telah melalui penilaian keberkesanan dan keselamatan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) dan dipantau secara berterusan oleh KKM.

“Penyebaran berita dan maklumat palsu mengenai vaksin kian membimbangkan dan menjejaskan keyakinan masyarakat. Saya faham ada dalam kalangan ibu bapa di luar sana yang masih ragu-ragu.

“Saya menyeru kepada semua supaya setiasa merujuk kepada sumber rasmi kerana keputusan kita hari ini memberi kesan kepada kesihatan generasi akan datang,” katanya. – 26 Mei, 2025

Topics

 

◉ Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

◉ Related