KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bertekad mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya di Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ikrar berkenaan disuarakan oleh Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan BN kekal terbuka untuk mengadakan persefahaman politik dengan mana-mana pihak, namun sebarang keputusan muktamad tertakluk kepada rundingan bersama kepimpinan pusat.
“Daripada 28 kerusi DUN di Melaka, Ketua Menteri memaklumkan berazam mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi. Pasti ada musyawarah dan kepimpinan pusat BN akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus bagi sebarang persepakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Hasrat mempertahankan dominasi di Melaka ini disokong oleh siri kejayaan cemerlang BN dalam beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.
Pada PRN Melaka November 2021, BN mencatat kemenangan selesa dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus meraih majoriti dua pertiga.
Momentum kemenangan gabungan itu berterusan apabila BN turut mencatatkan kejayaan cemerlang pada PRN Johor serta mengekalkan penguasaan kerusi yang kukuh pada PRN Negeri Sembilan, yang menjadi penanda aras keyakinan parti itu untuk terus mendominasi politik di peringkat negeri. – 6 Ogos, 2026
