KUALA LUMPUR — Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini didakwa berada di persimpangan jalan yang kritikal, berikutan keretakan dalaman yang semakin ketara antara parti-parti komponen utama, tegas tokoh wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu menyenaraikan tiga senario besar yang berpotensi mengubah lanskap politik negara—termasuk kemungkinan Kerajaan Madani tumbang atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal—sambil menggesa rakyat mula memikirkan calon Perdana Menteri yang benar-benar layak.
“Ada tiga senario besar politik Malaysia sekarang. Pertama, Kerajaan Perpaduan Madani jatuh. Kedua, sebuah kerajaan baru ditubuhkan. Ketiga, kerajaan baru tidak ditubuhkan sebaliknya Pilihan Raya Umum diawalkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook bertajuk ‘Siapa Kita Mahu Jadi PM?’.
Tanda-tanda awal keretakan PH-BN
Mengulas lanjut, Kadir mendedahkan bahawa kemungkinan runtuhnya Kerajaan Madani bukan lagi sekadar andaian, sebaliknya tanda-tanda awal pergolakan itu sudah mula kelihatan menerusi tindakan parti-parti komponen utama.
Beliau meletakkan kejatuhan itu berpunca daripada potensi penarikan diri mana-mana rakan kongsi utama seperti Barisan Nasional (BN) atau DAP.
“Kerajaan Perpaduan Madani boleh jatuh kalau mana-mana satu rakan kongsi besar, misalnya DAP atau Barisan Nasional, menarik diri. Kemungkinan senario pertama ini sudah mula menampakkan tanda-tanda.
“BN telah ‘go solo’ di Johor dan berkolaborasi dengan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan, manakala DAP pula akan memutuskan pendirian mereka dalam Konvensyen Kebangsaan pada 16 Ogos ini,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut menyentuh situasi parti teras Perdana Menteri iaitu PKR yang kini berada dalam ketidaktentuan susulan prestasi hambar dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.
“Luka parah PRN Johor dan Negeri Sembilan belum terubat, ‘Puteri Reformasi’ Nurul Izzah Anwar pula memohon meletak jawatan Timbalan Presiden atas alasan mahu menyambung pelajaran,” tambah Kadir lagi.
Siapa layak ketuai Malaysia?
Ekoran lanskap politik yang semakin goyah, Kadir melemparkan persoalan besar kepada rakyat Malaysia untuk menentukan hala tuju kepimpinan negara sekiranya peralihan kuasa berlaku atau jika PRU16 diawalkan.
“Persoalannya, kalau Kerajaan Perpaduan Madani tumbang dan kerajaan baru ditubuhkan, siapakah yang layak mengetuainya? Saya mohon kita fikirkan bersama dengan menamakan calon yang kita rasa paling layak.
“Kalau PRU16 diawalkan, gabungan mana yang kita rasa akan menang dan siapa yang kita mahu jadi Perdana Menteri?” soalnya.
Kembali kepada panduan Al-Quran: Ciri Al-Qawiy dan Al-Amin
Bagi memastikan negara tidak lagi terjerumus dalam krisis kepimpinan, Kadir menegaskan bahawa rakyat perlu menetapkan piawaian tinggi dalam memilih Perdana Menteri baharu, dengan mengambil iktibar daripada panduan Al-Quran.
“Kita tentulah berkehendakan seorang Perdana Menteri yang terbaik dari segi pendidikan, perwatakan, pengetahuan ekonomi dan pentadbiran, bersih daripada jenayah, baik kesihatan dan sempurna akal.
“Al-Quran memberi kita panduan bahawa seorang pemimpin mestilah ada ciri-ciri al-qawiy — iaitu kuat, berkemampuan dan berilmu — serta al-amin, iaitu amanah, jujur dan berintegriti,” katanya mengakhiri ulasan. – 9 Ogos, 2026
