KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak mencipta krisis Tabung Haji (TH) malah apabila pakatan mengambil alih kerajaan pada 2018, masalah itu sudah bertahun-tahun berlaku, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Dalam sesi perbahasan penerangan Menteri pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH, beliau berkata, kerajaan PH tidak menyembunyikannya masalah malah menteri agama yang bertanggungjawab ketika itu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, telah memulakan usaha pemulihan.
Jelasnya, apabila kerajaan PH mengambil alih sebuah institusi yang mempunyai masalah berbilion ringgit, tanggungjawab kerajaan bukan untuk mencantikkan angka sebaliknya membetulkan kerosakan.

“PwC (PricewaterhouseCoopers) dibawa masuk. Kedudukan sebenar kewangan Tabung Haji dikenal pasti. Pelan Pemulihan dan Penstrukturan dilaksanakan. Ya, keputusan yang dibuat tidak popular. Hibah 2018 jatuh kepada 1.25 peratus. Rakyat marah. PH menerima kritikan.
“Tetapi apabila kita mengambil alih sebuah institusi yang mempunyai masalah berbilion ringgit, tanggungjawab kerajaan bukan untuk mencantikkan angka.
“Tanggungjawab kerajaan ialah membetulkan apa yang rosak. Lebih mudah memberi rakyat angka yang mereka mahu dengar. Lebih sukar memberitahu kebenaran dan menanggung akibat politiknya,’’ katanya.
Mesyuarat khas itu diadakan bagi mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH, serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan susulan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang didedahkan dalam laporan RCI.
Peruntukan undang-undang yang jelas seperti piawaian perakaunan yang diguna pakai dan penalti salah lapor penyata kewangan, akan dimasukkan dalam pindaan Akta Tabung Haji 1995 selaras cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Syerleena berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menulis kepada Pengerusi Tabung Haji pada 2014 dan sekali lagi pada 2015, termasuk kepada Menteri, mengenai isu deposit, kecairan, pendeposit besar dan rizab Tabung Haji.
“Maknanya, jangan kata tiada siapa tahu. Ada yang tahu. Ada yang sudah memberi amaran.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan tindakan pembangkang keluar beramai-ramai menunjukkan mereka tidak serius dalam isu RCI.
Tegasnya, selama ini mereka bercakap seolah-olah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam tetapi apabila sidang khas itu diadakan, mereka mengadakan protes dengan keluar dewan.
“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam. Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar.
“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata sekiranya terdapat dapatan RCI yang tidak dipersetujui atau keputusan kerajaan yang mahu dipersoalkan, pembangkang sepatutnya membangkitkannya di Dewan berlandaskan fakta dan hujah, termasuk jika mahu mempertahankan mana-mana pihak. – 11 Ogos, 2026
