KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menepis spekulasi bahawa Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya hari ini mungkin perhimpunan terakhir yang dihadirinya sebagai anggota Kabinet.
“Macam mana awak tahu ini yang terakhir?
“Saya tak pernah cakap macam itu pun. Lepas hari Ahad baru kita cakaplah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MoT) di Putrajaya hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian ketika ditanya sama ada program itu merupakan yang terakhir dihadirinya sebelum Kongres DAP pada Ahad ini, yang akan menentukan sama ada DAP akan kekal atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Malah ketika ditanya sama ada beliau gementar menjelang Konvensyen DAP itu, Loke sebaliknya berkata beliau sangat tenang.
“Saya nampak gementar ke?… Saya rasa saya sangat tenang hari ini,” katanya yang menjawab pertanyaan wartawan secara santai.
Usul sama ada DAP perlu kekal dalam atau meninggalkan Kerajaan Persekutuan akan diputuskan melalui undian yang melibatkan 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak, pada Konvensyen DAP itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Loke sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah.
Bagaimanapun, semalam, DAP Perak sebulat suara meluluskan ketetapan untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata keputusan untuk kekal dalam kerajaan akan membolehkan parti itu terus menyumbang kepada proses penggubalan dasar, selain menunaikan mandat yang diberi pengundi.
Kerajaan Perpaduan, katanya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun lalu serta berjaya meningkatkan imej dan kedudukan negara di pentas dunia.
“Oleh itu, parti mesti terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi Bekerja agar tidak menghampakan harapan rakyat,’’ katanya. – 13 Ogos, 2026
