KUALA LUMPUR – DAP Johor dan Pulau Pinang menyerahkan kepada perwakilan pada Kongres DAP Ahad ini bagi menentukan sama ada parti itu kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Chow Kon Yeow berkata, mereka mengambil pendirian terbuka dan tidak akan memaksakan pendirian kepada perwakilannya.
Berbeza dengan Perak, DAP negeri memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi memastikan kestabilan politik, melaksanakan reformasi serta menunaikan mandat yang diberikan rakyat.
Di Johor, Teo berkata, pihaknya akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat menerusi undian perwakilan pada persidangan berkenaan.
“Sebenarnya kita belum ada satu pendirian di negeri ini kerana ia membabitkan undi. Kami beri kebebasan kepada perwakilan pada persidangan Ahad ini untuk buat keputusan.
“Jadi, terpulanglah kepada mereka. Semalam, kita ada buat satu sesi dialog bersama Setiausaha Agung (Anthony Loke Siew Fook) untuk menerangkan tentang usul ini. Johor akan akur dengan keputusan pada Ahad ini,” katanya.
Sementara di Pulau Pinang, Chow yang juga Ketua Menteri, berkata para perwakilan negeri telah diberi taklimat mengenai usul tersebut dan bebas untuk mengundi.
“Sebenarnya, setiap negeri ada cara untuk menghadapi konvensyen yang akan berlangsung pada Ahad ini.
“Bagi Pulau Pinang, jawatankuasa negeri dan mesyuarat pada Rabu mengambil pendekatan terbuka. Kami tidak menetapkan sebarang pendirian rasmi,” katanya, lapor media.
Kira-kira 400 perwakilan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menghadiri sesi libat urus bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, serta barisan kepimpinan CEC di sini pada malam Rabu.
Sesi berkenaan menjadi platform untuk para perwakilan bertukar pandangan mengenai hal ehwal parti, isu-isu nasional dan hala tuju parti pada masa hadapan.
Usul sama ada DAP perlu kekal dalam atau meninggalkan Kerajaan Persekutuan akan diputuskan melalui undian yang melibatkan 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak, pada Konvensyen DAP itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Pada Rabu, DAP Perak sebulat suara meluluskan ketetapan untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata keputusan untuk kekal dalam kerajaan akan membolehkan parti itu terus menyumbang kepada proses penggubalan dasar, selain menunaikan mandat yang diberi pengundi.
Kerajaan Perpaduan, katanya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun lalu serta berjaya meningkatkan imej dan kedudukan negara di pentas dunia.
“Oleh itu, parti mesti terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi Bekerja agar tidak menghampakan harapan rakyat,’’ katanya. – 14 Ogos, 2026
