HEADLINES

Mansuh AUKU: UMPSA, UIAM dan UMT sokong, cadang kerangka baharu jamin kebebasan akademik

Pimpinan IPTA sambut baik pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melakukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan tinggi negara

2:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai langkah transformatif yang mampu mencetus anjakan besar dalam memperkukuh autonomi, tadbir urus dan kebebasan akademik negara.

Pimpinan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan itu yang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melakukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Profesor Dr Yatimah Alias berkata pemansuhan AUKU perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana ia berkaitan hal ehwal atau kebebasan mahasiswa selain menjadi asas penting kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti.

“Pembentukan kerangka baharu yang akan dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan adalah langkah amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata kebebasan yang lebih luas mesti hadir bersama-sama rasa tanggungjawab, dengan kebebasan bersuara perlu berasaskan fakta dan penghormatan terhadap perbezaan manakala autonomi kewangan dan aktiviti mahasiswa berteraskan ketelusan serta akauntabiliti.

Sementara itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Osman Bakar berkata langkah itu memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk membina pemikiran matang, mengembangkan potensi kepimpinan dan mengambil bahagian secara konstruktif dalam masyarakat.

“Bagi UIAM, kebebasan yang lebih luas perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab, integriti intelektual dan keprihatinan terhadap kepentingan bersama. Mahasiswa wajar diberikan ruang untuk menilai dan membahaskan isu semasa secara kritis, berasaskan ilmu serta kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata aspirasi itu bertepatan dengan komitmen UIAM terhadap epistemologi tauhid dan gagasan kecemerlangan ummah bagi melahirkan graduan yang kukuh dari segi nilai, akhlak serta keupayaan intelektual.

Senada dengan pandangan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Dr Suriyani Muhamad yang menyifatkan pemansuhan tersebut sebagai peluang keemasan untuk memperjelas akauntabiliti universiti awam.

“Kerangka baharu perlu mewujudkan keseimbangan yang jelas antara autonomi dan akauntabiliti, kebebasan dan tanggungjawab, serta inovasi dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata pembaharuan kerangka perundangan itu juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan transformasi, kecemerlangan, daya tahan dan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Pembaharuan perundangan universiti adalah sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan serta tuntutan masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 semalam mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan dengan usul tersebut akan dibawa ke Kabinet pada Rabu ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Profesor Dr Zaliman Sauli berkata pemansuhan AUKU berpotensi membuka ruang kepada pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih progresif dan tangkas.

Beliau berkata langkah itu memberikan lebih ruang kepada universiti untuk memperkukuh autonomi, tadbir urus, kecemerlangan akademik, inovasi dan keupayaan membuat keputusan secara lebih responsif. 

“Perkembangan ini amat bertepatan dengan aspirasi RPTM 2026-2035 yang menggariskan keperluan untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik, berdaya tahan, berautonomi, inovatif dan responsif terhadap perubahan global serta keperluan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata dalam konteks RPTM 2026-2035, UniMAP berpandangan transformasi pendidikan tinggi perlu bergerak daripada pendekatan konvensional kepada ekosistem yang lebih fleksibel, berteraskan ilmu, teknologi, inovasi, bakat dan keterhubungan dengan industri serta masyarakat. 

Beliau berkata reformasi itu juga berpotensi memperkukuh kebebasan akademik dan budaya keintelektualan selain menyediakan ruang lebih kondusif kepada warga akademik untuk meneroka ilmu, menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan menyumbang penyelesaian kepada cabaran negara.  

“UniMAP turut berpandangan autonomi perlu bergerak seiring dengan akauntabiliti, integriti, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab institusi. Kebebasan akademik yang diperkasakan perlu diterjemahkan kepada kecemerlangan manakala autonomi institusi perlu menghasilkan nilai yang jelas kepada mahasiswa, industri, masyarakat dan negara,” katanya. – 16 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related