KUALA LUMPUR – Dua individu yang dikaitkan dengan kematian seekor anjing dikenali sebagai ‘Rocky’ di Taman Telok Gedong Indah pada bulan lepas, dijangka didakwa di mahkamah berasingan di Klang, hari ini.
Dua individu terbabit ialah seorang lelaki yang dikaitkan dengan tangkapan anjing tersebut manakala seorang wanita yang mempunyai kaitan dengan kejadian itu, berdepan tuduhan tambahan, lapor media.
Pertuduhan dijangka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji manakala seorang lagi individu, yang merupakan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 40-an, akan menghadapi pertuduhan tambahan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, polis telah menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menjalankan pertuduhan berkaitan kes kematian anjing dikenali sebagai Rocky.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan perhimpunan atau demonstrasi berhubung kematian Rocky ketika operasi penguatkuasaan dijalankan di Pelabuhan Klang bulan lalu.
“Hasil siasatan kami membawa kepada arahan supaya pertuduhan dikemukakan esok (hari ini). Ini menunjukkan bahawa kami tidak memihak kepada mana-mana pihak.
“Selagi terdapat pelanggaran undang-undang, kami akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun yang menyertai operasi penangkapan anjing yang mencetuskan kontroversi di Taman Teluk Gedung Indah, Klang, menafikan dia berniat untuk mencederakan atau membunuh Rocky.
Sebaliknya, kata Muhammad Shah Hizam, dia beliau menyertai operasi berkenaan selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Samagagah untuk bersama penduduk dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menangani aduan mengenai anjing-anjing liar di kawasan berkenaan.
Jelasnya, kematian Rocky amat menyedihkannya dan menegaskan bahawa beliau tidak menyokong kekejaman terhadap haiwan.
“Saya tidak menyokong sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan saya tidak berada di sana pada malam itu dengan niat untuk mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan,” katanya. – 20 Ogos, 2026
