HEADLINES

Pengasas Sunway sahkan insiden libatkan roller coaster di Sunway Lagoon, Sabtu lalu

Tan Sri Jeffrey Cheah berkata polis telah menolak kemungkinan unsur sabotaj dan sedang menyiasat kejadian yang menyebabkan 10 orang cedera dalam insiden berkenaan

5:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, mengesahkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah roller coaster di Sunway Lagoon pada malam 22 Ogos.

Beliau berkata insiden itu mungkin berpunca daripada “kelelahan logam” (metal fatigue).

“Pada pandangan saya, insiden itu mungkin disebabkan oleh kelelahan logam,” katanya, yang dipetik daripada NST.

“Ini merupakan satu insiden yang amat kami kesali. Kami bernasib baik kerana tiada kematian berlaku,” tambahnya.

Cheah turut mendedahkan permainan tersebut telah ditutup sementara untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan “kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum insiden berlaku”, menurut laporan NST.

Beliau mengesahkan bahawa pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut dan polis telah menolak kemungkinan berlakunya unsur sabotaj.

Semalam, polis mengesahkan insiden yang berlaku pada kira-kira jam 9 malam Sabtu lalu, yang menyebabkan 10 orang mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital di Subang Jaya.

Bagaimanapun, polis tidak menamakan taman tema berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa media seolah-olah menyembunyikan identiti pengendali taman tema tersebut.

Seramai 22 orang, termasuk pelancong asing, sedang menaiki roller coaster berkenaan ketika kejadian berlaku.

Insiden itu diketahui umum selepas sebuah video tersebar di media sosial yang menunjukkan seorang wanita dibawa menggunakan pengusung dalam persekitaran sebuah taman tema.

Satu lagi video yang tular menunjukkan anggota polis keluar dari pintu masuk Sunway Lagoon.

Terdahulu, Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menggesa pengendali taman tema berkenaan supaya bersikap telus mengenai insiden tersebut selepas tiga hari berdiam diri.

Beliau menegaskan tiada agenda untuk mencemarkan reputasi mana-mana syarikat, sebaliknya kebimbangan orang ramai perlu ditangani. – 25 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

Related