◉ HEADLINES

Semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara : Dzulkefly

Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan menilai semula keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak selain melihat lokasi serta kaedah akses FDS, termasuk alternatif pengangkutan yang lebih selamat

4:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima orang di Long Lelland, Miri, Sarawak, Selasa lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata,ia bagi membolehkan siasatan serta semakan mekanisme keselamatan dan operasi dilakukan.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan menilai semula keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak selain melihat lokasi serta kaedah akses FDS, termasuk alternatif pengangkutan yang lebih selamat.

“Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

“KKM juga akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (STM) bagi meneroka penggunaan asetnya untuk pemindahan pesakit kecemasan,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak mengorbankan empat petugas kesihatan negara dan seorang juruterbang.

Mereka yang terkorban ialah Dr Ainul Baroah Kamaruddin, 33; juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31 serta dua jururawat, iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Ketika kejadian, helikopter tersebut sedang menjalankan operasi FDS.

Berikutan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata nahas berkenaan perlu dijadikan titik perubahan dalam usaha memperkukuh standard keselamatan pengangkutan perubatan di seluruh negara.

Kerajaan, juga katanya perlu memastikan semua aset yang digunakan untuk membawa petugas kesihatan memenuhi piawaian keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan semasa menjalankan tugas di lapangan.

“Penilaian terhadap jangka hayat aset, rekod penyelenggaraan, pensijilan keselamatan, peralatan kecemasan serta kesesuaiannya dengan muka bumi dan cuaca perlu diteliti secara berkala oleh pihak berwajib.

“Tiada pengangkutan seperti pesawat, ambulans mahupun bot yang harus digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau terikat dengan kontrak, kebajikan dan keselamatan petugas kesihatan mesti sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” katanya. – 10 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related