HEADLINES

Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang : Nooryana Najwa

Nooryana berkata mereka sekeluarga melawat Najib semalam dan bekas Perdana Menteri itu tidak mahu menyusahkan parti ataupun rakyat

4:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak amat tersentuh apabila melihat ramai yang sanggup menyumbang untuk membantunya mengumpul RM50 juta susulan pengampunan bersyarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa berkata perkara tersebut diluahkan oleh Najib, ketika mereka sekeluarga melawat bekas Ahli Parlimen Pekan itu semalam.

“Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang. I would never force it on anyone,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Nooryana, ramai yang bertanya kepadanya sama ada Najib sudah kembali ke rumah dan yakin soalan berkenaan datangnya daripada rasa sayang serta prihatin ke atas bapanya.

“Buat masa ini, belum. Keputusan Lembaga Pengampunan menetapkan bahawa tahanan rumah tersebut tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta terlebih dahulu. Kami sekeluarga menghormati sepenuhnya keputusan tersebut,’’ katanya.

Nooryana memberitahu, sekiranya RM50 juta berjaya dikumpulkan melalui sumbangan sukarela Tabung Solidariti Datuk Seri Najib, segala urusan pembayaran dan proses seterusnya akan dibuat melalui saluran rasmi.

“Yana difahamkan bayaran denda perlu dibuat kepada mahkamah terlebih dahulu. Mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan resit pembayaran, dan resit tersebut akan diserahkan kepada pihak penjara. Barulah pihak penjara boleh mengeluarkan “release order” untuk proses tahanan rumah.

“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan usaha Umno menerajui Tabung Solidariti ini. DSN tidak pernah mahu menyusahkan parti mahupun rakyat. Setiap sumbangan adalah sepenuhnya secara sukarela dan mengikut kemampuan masing-masing — tiada paksaan atau kewajipan kepada sesiapa untuk menyumbang,’’ katanya.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Terdahulu, peguam Najib, Tetuan Shafee & Co. dalam kenyataannya berkata Najib akan kekal di Penjara Kajang memandangkan keupayaannya untuk membayar denda RM50 juta berada di luar kawalan beliau.

Ini kerana, katanya, sebahagian sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan serta pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan tunggal beliau.

Justeru katanya, keupayaan Najib untuk memenuhi syarat tersebut sebahagiannya bergantung kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.

“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal di Penjara Kajang. Anak guam kami dan pasukan guaman kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,’’ kata peguamnya.

Setakat Sabtu, sebanyak RM1 juta berjaya dikumpul oleh Umno menerusi Tabung Solidariti Najib. – 20 September, 2026

Topics

 

Hangat

Inside the Bandar Utama school tragedy: a timeline of the shocking fatal stabbing

A look at the events surrounding the stabbing of a 16-year-old student, with ongoing investigations into the suspect's motives and the role of online violence

Gig worker groups call on MoT to widen talks on policy reforms

Courier and e-hailing associations say current consultations too narrow, risk sidelining real on-the-ground challenges

SMART team leaves for Nepal, to focus on last known area of missing Malaysians

11-member team will be in disaster area for 10 days

Related