
KUALA LUMPUR – MRT Corp di ambang kerugian apabila tujuh tren di bawah kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai hampir RM600 juta masih belum diserahkan semula selepas lebih dua tahun dihantar.
Kontrak bernilai hampir RM600 juta itu dianugerahkan kepada SMH Rail pada Julai 2024 bagi menjalankan kerja-kerja MRO ke atas 58 set tren yang beroperasi untuk Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan 1).
Menurut sumber, bayaran di bawah kontrak berkenaan dibuat secara berperingkat mengikut pencapaian fasa yang dipersetujui.
Walau bagaimanapun, kemajuan program baik pulih berkenaan telah tertinggal jauh daripada jadual yang ditetapkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung kebolehsediaan serta keadaan tren berkenaan.
“Tujuh tren telah dihantar ke bengkel SMH Rail, tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun yang dikembalikan kepada Prasarana. Program ini sudah pun lewat lebih dua tahun daripada jadual asal,” kata sumber berkenaan.
Sumber itu turut memberi amaran bahawa kelewatan tersebut boleh menyebabkan tempoh penyiapan projek berganjak melebihi sasaran asal pada Julai 2028, malah berkemungkinan tertangguh sehingga 2029 atau 2030.
“Melihat kepada prestasi yang perlahan ini, tempoh penyiapan mungkin perlu dilanjutkan lagi ke tahun 2029 atau 2030, dan ini boleh menjejaskan kebolehpercayaan serta keadaan keseluruhan tren,” tambahnya.
Mengulas lanjut, sumber itu mendedahkan kadar kebolehsediaan armada MRT Laluan 1 kini berada di tahap membimbangkan kerana selain tujuh tren yang tersangkut di fasiliti SMH Rail, 10 tren lagi direhatkan kerana menunggu ketiadaan alat ganti, manakala tiga lagi tidak dapat digunakan akibat kemalangan.
Ini bermakna hanya 38 daripada keseluruhan 58 set tren yang kini sedia untuk beroperasi sepenuhnya untuk kegunaan awam.
Sumber itu turut mendedahkan bahawa MRT Corp telah memberikan dua kali lanjutan tempoh masa (EOT) kepada SMH Rail bagi menyempurnakan kerja-kerja yang ditetapkan.
SMH Rail merupakan sebuah syarikat swasta milik tempatan dan sahamnya tidak didagangkan secara awam di mana-mana bursa saham.
Pengasas, pengerusi dan pengarah urusannya ialah Datuk P.K. Nara, yang turut dikenali sebagai Narayanan P. K. Menon, selaku pemegang saham majoriti.
Kepimpinan eksekutif syarikat berkenaan turut dibarisi Zahrin Zaman selaku Pengarah Eksekutif, bersama beberapa ahli keluarga serta rakan perniagaan lain yang terlibat dalam pengurusan syarikat.
MRT Laluan 1, atau lebih dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Kajang, mula beroperasi pada tahun 2016 dan menggunakan set tren Siemens Inspiro.
Program MRO ini bertujuan untuk mengekalkan kebolehpercayaan, keselamatan dan kesediaan operasi berkenaan memandangkan tren tersebut terus berkhidmat di salah satu laluan pengangkutan awam tersibuk di Lembah Klang. – 2 Oktober 2026

