KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan serta mengumumkan barisan calon yang bakal menggalas cabaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persediaan jentera di peringkat akar umbi telah mula digerakkan sejak dua bulan lalu bagi memastikan gabungan itu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi persaingan.
“Jentera kita sudah bergerak dan bersedia… cuma penyelarasan, jajaran dan kesefahaman itu sahaja belum lagi… insya-Allah, dalam masa terdekat iaitu seminggu atau dua minggu lagi kita umum calon-calon yang akan bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Tuaian Anak Harapan TAWAS (TUAH) di Pusat Konvensyen KSL di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas PH Melaka mengesahkan pada 27 Sept lalu bahawa proses pembahagian kerusi antara parti komponen di peringkat negeri telah pun diselesaikan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan berkata susunan akhir pimpinan calon bagaimanapun akan diselaraskan bersama Majlis Presiden PH, pimpinan negeri, serta Amirudin sendiri selaku Pengarah Pilihan Raya.
Pintu belum ditutup buat Bersatu
Menyentuh spekulasi kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi PRN kali ini, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan pihak gabungan tidak menutup pintu rundingan sekiranya ada ruang perbincangan.
“Kalau ada ruang, kita berbincang… jika tidak, kita bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan kesefahaman yang ada,” katanya.
PRN Melaka terpaksa diadakan susulan pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 Sept lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. – 3 Oktober, 2026
