◉ HEADLINES

‘Orang kata ini satu lakonan’ Loke kekal pendirian tinggalkan Kabinet sebaik Najib jalani tahanan rumah

Menurut Anthony Loke, keputusan berkenaan telah dipersetujui bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengemukakan peletakan jawatannya

5:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kekal dengan pendiriannya akan meninggal Kabinet sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

“Sudah tentu, orang kata ini satu lakonan, bermotifkan politik dan sebagainya.

“Tetapi saya berpegang kepada pendirian saya, sebaik sahaja beliau kembali (tahanan rumah) saya perlu berundur. Beliau pulang ke rumah, saya tinggalkan Kabinet,’’ katanya dalam temu bual dengan The Straits Times.

Menurut Loke, keputusan berkenaan telah dipersetujui bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengemukakan peletakan jawatannya.

Pada 29 September lalu, Loke mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, Anwar memintanya untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat masa ini, namun peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun keputusan Loke itu berdepan dengan kritikan termasuk daripada PAS yang mengingatkan Setiausaha Agung DAP itu meletak jawatan dalam Kabinet sebagai membantah keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat ke atas Najib.

Pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah selepas menjelaskan RM50 juta. 

Dalam temu bual berkenaan, Loke turut mengulas mengenai kemelut semasa di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Umno, bersama PAS, masih terperangkap dalam kemelut institusi diraja yang dijanjikan untuk diselesaikan selepas mengambil alih pentadbiran negeri atas nama perpaduan Melayu.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 September dan pembatalan itu diwartakan pada 24 September.

Exco berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Pada 29 September, Tuanku Muhriz menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, di Istana Hinggap.

Berikutan kemelut pentadbiran yang berlarutan itu, PKR Negeri Sembilan  menzahirkan kekecewaan kerana ia menimbulkan persepsi kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan. 

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Jelasnya, meskipun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat. – 4 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Can Malaysians be more friendly? Country 24th in friendliness, welcome for expats

2024 ranking a slide from 15th spot in previous year, locals in Philippines, Indonesia and Thailand easier to befriend

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

◉ Related