KUALA LUMPUR – Babak indah kehidupan bermula buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, dan pilihan hati, selebriti ternama Bella Astillah, 32, sebaik diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri di 118 Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.
Tepat jam 10.40 pagi hari ini, dewan majlis diselubungi suasana hiba bercampur gembira apabila Syed Saddiq menyempurnakan akad nikah dengan hanya sekali lafaz.
Upacara bersejarah itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sekali gus memeteraikan ikatan pertunangan yang dibina sejak 28 Mac lalu.
Seramai 250 tetamu yang terdiri daripada kenamaan, rakan selebriti, serta ahli keluarga terdekat menjadi saksi detik manis pasangan yang mesra disapa nama gabungan ‘BASS’ oleh peminat mereka.
Sama cantik dan sama padan, kedua-dua mempelai tampil memukau dalam persalinan serba putih. Konsep majlis diserikan lagi dengan sentuhan tema Arabik Islamik yang menonjolkan keanggunan serta ketenangan, hasil gabungan impian kedua-dua belah keluarga.
Kemuncak majlis menyaksikan pertukaran dulang hantaran yang penuh simbolik dan menyentuh hati. Pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM500 bersama tujuh dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.
Antara bingkisan paling bermakna daripada Syed Saddiq buat permaisuri hatinya ialah pakej melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana serta tabungan wang simpanan. Pihak Bella pula membalasnya dengan hantaran berupa sebentuk cincin, naskhah buku, dan emas.
Kebahagiaan pasangan raja sehari itu bertambah manis apabila mereka menerima kejutan istimewa berupa tajaan pakej menunaikan ibadah umrah bersama-sama.
Pernikahan pada tarikh indah 10 Oktober 2026 ini merupakan tirai pembuka kepada siri keraian perkahwinan mereka. Pasangan ini dijadualkan meraikan resepsi utama di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober depan.
Keraian ikatan mesra pasangan ini diteruskan lagi menerusi ‘Kenduri Rakyat’ yang bakal mendekatkan mereka dengan peminat dan penduduk setempat di Muar, Johor pada 25 Oktober, sebelum diakhiri dengan majlis sebelah perempuan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini. – 10 Oktober, 2026
