KUALA LUMPUR – Kerajaan mempamerkan komitmen agresif dalam merapatkan jurang digital dan memartabatkan seni tanah air menerusi peruntukan mega RM5 bilion bagi Projek JALINAN Digital Negara (JENDELA) serta lebih RM130 juta khusus untuk industri kreatif di bawah Bajet 2027.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, pelaburan digital bernilai bilion ringgit itu bakal merangkumi peluasan liputan rangkaian 4G ke semua perkampungan Orang Asli di seluruh negara, selain memperhebat infrastruktur telekomunikasi secara menyeluruh.
Langkah paling mencuri tumpuan penggiat seni ialah keputusan kerajaan mengecualikan sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan bermula tahun 2027.
“Bagi sektor kreatif, peruntukan lebih RM130 juta disediakan untuk menyokong industri perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan, termasuk insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
“Insentif tambahan turut disediakan bagi karya yang menampilkan budaya dan kenegaraan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Melalui peruntukan tersebut, sebanyak 20 harta intelek (IP) baharu disasarkan untuk dicipta, sekali gus membawa watak-watak ikonik buatan Malaysia ke persada antarabangsa.
Pengukuhan keselamatan siber sekolah dan pusat NADI
Bagi memastikan akses maklumat dan keselamatan ruang siber bergerak seiring, kerajaan turut memperuntukkan RM142 juta untuk menaik naik taraf fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi akan melancarkan Kempen Internet Selamat di semua sekolah bagi membendung isu buli siber serta bahaya eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian.
Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa pelaksanaan berimpak tinggi ini dijangka melonjakkan ketersambungan komunikasi, literasi digital, serta kualiti hasil industri kreatif negara.
Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” telah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lepas, melibatkan dasar fiskal mengembang bernilai keseluruhan RM510 bilion. – 11 Oktober, 2026
