KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup lima kilogram (kg) kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta) dengan menyembunyikan dadah berkenaan dalam kasut, di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Sabtu.
Memetik laporan NHK World, polis berkata, salah seorang suspek Mohd Danial Farhan Abdul Rahman dan tiga yang lain mengaku terhadap dakwaan berkenaan.
Manakala seorang lagi suspek menafikannya.
Menurut polis Tokyo, kelima-lima individu itu cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa lima kilogram kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 di pasaran gelap.
Pegawai kastam di lapangan terbang itu menemui bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut setiap seorang daripada lima individu berkenaan ketika pemeriksaan ketibaan mereka.
Mohd Danial Farhan dilaporkan berkata seseorang yang dikenalinya menerusi aplikasi memintanya membawa dadah terlarang ke luar negara.
“Beliau turut mendakwa ditawarkan bayaran sebagai upah dan diberikan sepasang kasut,’’ lapor NHK.
Polis dan pihak berkuasa lain percaya kelima-lima individu itu mungkin diarahkan untuk membawa dadah berkenaan masuk ke Jepun.
Siasatan sedang dijalankan dan pihak berkuasa mengesyaki kegiatan itu mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan antarabangsa. – 13 Oktober, 2026
