◉ HEADLINES

Pelaksanaan pengecualian gaji minimum PMKS perlu telus, kriteria kelayakan perlu diperincikan

DPIM berkata kerajaan perlu memperincikan tempoh pengecualian, kriteria kelayakan dan mekanisme peralihan bagi melindungi kepentingan majikan serta hak pekerja

8:26 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengecualian sementara gaji minimum bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta perlu dilaksanakan secara telus dengan pelan hala tuju yang jelas.

Menurut Pengerusi Cawangan Selangor Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Mohd Yahya Mat Sahri, ini kerana sektor yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan itu memerlukan ruang untuk menyesuaikan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh aliran tunai.

Kerajaan, katanya, perlu memperincikan tempoh pengecualian, kriteria kelayakan dan mekanisme peralihan bagi melindungi kepentingan majikan serta hak pekerja.

“Pada masa sama, kemudahan pembiayaan PMKS berjumlah RM57 bilion juga mesti benar-benar dapat diakses oleh peniaga kecil dan bukannya sekadar angka besar dalam dokumen belanjawan.

“Sokongan pembiayaan, pendigitalan, automasi dan latihan kemahiran mesti bergerak seiring dengan agenda kenaikan gaji,” katanya, lapor Bernama.

Pada 9 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2027 berkata PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada kadar gaji minimum baharu RM2,000 yang berkuat kuasa pada Jun 2027.

Langkah itu disertai syarat lebih ketat bagi syarikat bukan PMKS untuk menuntut potongan cukai terhadap perbelanjaan gaji, sebagai sebahagian usaha membendung pengambilan pekerja asing tanpa dokumen.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bahawa pengecualian itu bertujuan memastikan majikan dapat menyusun semula kedudukan kewangan mereka tanpa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan pekerja.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata DPIM turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 bagi memartabatkan pekerja, memperkukuh kuasa beli dan merapatkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan isi rumah.

“Pekerja bukan sekadar penggerak ekonomi, malah individu yang berhak menikmati hasil kemajuan negara secara lebih saksama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan kadar gaji minimum yang lebih tinggi perlu disertai penguatkuasaan tegas bagi melindungi pekerjaan sedia ada.

Beliau berkata kerajaan perlu melindungi pekerja dengan menguatkuasakan pematuhan gaji minimum serta mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mematuhinya.

“Selain memantau kos sara hidup, pertumbuhan gaji dan kualiti pekerjaan, kenaikan gaji tidak seharusnya mendorong majikan mengurangkan tenaga kerja atau menggantikan pekerja tanpa perancangan peningkatan kemahiran.

“Kejayaan sebenar diukur apabila pekerja dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah, peniaga kecil terus bertahan dan berkembang, serta golongan muda memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka,” katanya. – 14 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related