KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok.
Media yang memetik sumber berkata, ia berhubung dakwaan mengasari dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada 28 September lalu.
Shuhaily dilaporkan akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Kes berkenaan sebelum ini mencetuskan perhatian selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial, memaparkan individu mirip Mohd Shuhaily berhadapan dengan dua individu di KLIA.
Pada 8 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Setakat tarikh berkenaan, sebanyak 25 saksi dirakam percakapan. Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat dengan teliti.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
Sementara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengarahkan polis melengkapkan siasatan mengikut keperluan yang ditetapkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes terbabit. – 20 Oktober, 2026
