◉ HEADLINES

Mohd Shuhaily didakwa dua pertuduhan sebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali

10:05 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Beliau mohon dibicarakan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman di antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lepas.

Beliau didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, lapor Bernama.

Mohd Shuhaily diwakili oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.

Foong memohon jaminan RM1,000 bagi anak guamnya, manakala Shahrizat mahu Mohd Shuhaily dikenakan ikat jamin RM5,000 dan tidak mengganggu mangsa.

Khairatul Animah kemudian membenarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes, serta penyerahan dokumen.

Majistret turut mengarahkan Mohd Shuhaily hadir pada setiap prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Mohd Shuhaily sebelum ini dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA Terminal 1.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain. – 21 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Can Malaysians be more friendly? Country 24th in friendliness, welcome for expats

2024 ranking a slide from 15th spot in previous year, locals in Philippines, Indonesia and Thailand easier to befriend

◉ Related