◉ HEADLINES

Kematian dalam tahanan: Bedah siasat dapati tiada kecederaan organ dalaman, kes dirujuk IPCC

Polis sudah merakam percakapan 78 orang saksi, terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk dua waris

10:13 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bedah siasat yang dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 42 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada bahagian organ dalaman namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aida Abdul Hamid berkata, punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal) dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Aida memberitahu, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS akan meneruskan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.

Kes ini, katanya dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).

“Pihak USJKT merakam percakapan 78 orang saksi yang terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk dua orang waris,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Noorizwan meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.

“Si mati dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di Cheras pada 30 September untuk mendapatkan rawatan.

“Dia diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi, 1 Oktober,” katanya.

Aida memberitahu, polis komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden seumpama ini serta menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan dan undang-undang,’’ katanya.

Kematian Noorizwan dalam tahanan polis mendorong kumpulan hak asasi manusia menggesa supaya siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan.

Pada 9 Oktober lepas, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh mangsa.

Manakala Lawyers for Liberty (LFL), yang mewakili keluarga mangsa, mempersoalkan keadaan fizikal mangsa dan mendakwa keluarganya hanya dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira 18 jam selepas kejadian. – 24 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

◉ Related