KUALA LUMPUR – Umno menuntut supaya keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat dengan serta merta selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Seri Paduka Baginda.
‘Umno menjunjung kasih atas titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.
“Umno berpendirian titah tegas Tuanku ini boleh membawa kepada maksud wujudnya tindakan penderhakaan dan Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Dengan Titah Yang di-Pertuan Agong ini, Umno menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat serta merta dan pihak yang mengingkari perintah ini perlu dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang undang,’’ katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
AGC dalam kenyataannya hari ini turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.
Sebaliknya, kata AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara berbeza, malah mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, Umno bersama sama dengan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Semoga Allah memelihara kemulian Tuanku dan menyelamatkan Malaysia daripada tangan tangan yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara,’’ katanya. – 7 November, 2026
