KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang melumpuhkan capaian pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia disahkan berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya serangan siber.
Perkara itu disahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) hari ini bagi meredakan kebimbangan berhubung potensi ancaman pencerobohan digital terhadap sistem organisasi tempatan.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, NACSA memaklumkan gangguan berkenaan menjejaskan beberapa aplikasi utama, merangkumi Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot serta Defender XDR.
“Berdasarkan maklumat semasa, gangguan ini lebih cenderung berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur dan bukan serangan siber,” menurut agensi itu.
Susulan insiden tersebut, Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) di bawah NACSA mengarahkan semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) segera menyemak status perkhidmatan masing-masing yang terjejas.
Agensi itu turut mengingatkan semua pihak berkaitan supaya memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terjejas sepanjang tempoh gangguan, selain sentiasa memantau perkembangan terkini daripada pihak Microsoft.
Dalam pada itu, NACSA menggesa mana-mana organisasi yang berdepan gangguan operasi akibat masalah berkenaan supaya membuat laporan segera melalui saluran pelaporan sedia ada. – 13 November, 2026
