◉ HEADLINES

Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz berhubung tuntutan tunggakan cukai RM5 juta

Hakim berkata isu berkenaan perlu diputuskan menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967

1:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mencabar tuntutan cukai berjumlah RM5.02 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2017 hingga 2019.

Hakim Datuk Azizan Md Arshad ketika menyampaikan keputusan itu berkata isu yang dibangkitkan itu perlu didengar oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibawa ke mahkamah.

Azizan memberitahu, isu berkenaan perlu diputuskan menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan tiada keadaan khas yang mewajarkan permohonan semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Azizan menegaskan keputusan mahkamah itu hanya tertumpu kepada isu prosedur dan tidak menyentuh cabaran Mukhriz terhadap taksiran cukai tambahan berkenaan.

Hakim itu turut memerintahkan Mukhriz membayar kos sebanyak RM5,000 kepada LHDN.

Mukhriz diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala LHDN diwakili Peguam Hasil, Marina Ibrahim.

Semakan kehakiman itu berhubung tindakan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan bagi 2017 berjumlah RM2,558,875.90; RM2,445,004.91 (2018) dan 2019 berjumlah RM16,826.37.

Pada 2 Januari 2025, mahkamah memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Pada 20 Disember 2025, Mukhriz, 61, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Bagaimanapun, pada 24 Julai 2025, Anwar dan kerajaan berjaya mengeluarkan nama mereka dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires. – 16 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

◉ Related