KUALA LUMPUR – Grab Malaysia memperkenalkan ciri baharu Kid-Friendly Rides (Beta), sebuah perkhidmatan e-hailing yang dirangka khusus bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan perjalanan keluarga bersama kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.
Diperkenalkan selaras dengan garis panduan keselamatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), ciri berkenaan membolehkan pengguna menempah kenderaan 6-tempat duduk (6-Seater) yang dilengkapi kerusi penggalak (booster seat) khas.
Secara umumnya, perkhidmatan itu ditawarkan kepada kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun, selain kumpulan kenderaan terhad bagi perkhidmatan GrabEV Exec yang dilengkapi kerusi penggalak jenama Koopers untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, dengan rakan-pemandu turut dilatih mengendalikan penggunaan sistem sekatan kanak-kanak (CRS).
Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, inisiatif itu bertujuan menangani cabaran praktikal yang dihadapi ibu bapa ketika melakukan perjalanan bersama anak kecil, khususnya keperluan membawa kerusi keselamatan kanak-kanak yang besar dan berat.
“Keluarga sepatutnya dapat melakukan perjalanan bersama anak-anak mereka dengan lebih tenang, tanpa perlu bersusah payah membawa kerusi kanak-kanak yang berat dan menyukarkan.
“Menerusi Kid-Friendly Rides (Beta), kami berharap dapat memudahkan keluarga bergerak ringan dengan menyediakan kerusi penggalak khas.
“Ia mencerminkan komitmen yang kami kongsi bersama Kementerian Pengangkutan, MIROS dan rakan kongsi seperti Koopers bagi memastikan apabila keluarga melakukan perjalanan, mereka bergerak dengan selamat dan keselamatan kanak-kanak tidak pernah diabaikan di jalan raya,” katanya.
Penggunaan CRS telah diwajibkan di Malaysia sejak 1 Januari 2020, namun kadar pemakaiannya masih rendah, manakala kajian pemerhatian MIROS turut menekankan keperluan meningkatkan kesedaran serta memastikan ibu bapa dan penjaga menggunakannya secara konsisten dan betul.
Ketua Pengarah MIROS, Prof Madya Ir Ts Dr Siti Zaharah Ishak berkata, usaha melindungi kanak-kanak di jalan raya memerlukan tanggungjawab bersama.
“Kajian mendapati kerusi penggalak mengurangkan risiko kecederaan sebanyak 45 peratus bagi kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun berbanding penggunaan tali pinggang keledar semata-mata.
“Garis panduan CRS MIROS menekankan pemilihan alat sekatan yang sesuai dengan saiz kanak-kanak serta pemasangannya dengan betul.
“Kami mengalu-alukan inisiatif ini bagi menjadikan alat sekatan kanak-kanak lebih mudah diakses oleh keluarga yang menggunakan perkhidmatan e-hailing serta menggalakkan penggunaannya secara tepat dalam setiap perjalanan,” katanya.
Buat masa ini, ciri Kid-Friendly Rides (Beta) hanya tersedia menerusi fungsi Tempahan Awal (Advance Booking) bagi perjalanan pergi dan balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Untuk mengakses ciri tersebut, pengguna perlu membuka aplikasi Grab dan menekan ikon “Car”, memilih pilihan “Advance Booking”, menetapkan masa pengambilan yang diinginkan, memasukkan lokasi pengambilan atau penurunan di lapangan terbang, serta memilih Kid-Friendly Rides (Beta) di bawah kategori Standard 6-Seater atau Grab EV Exec.
Bagi tempahan Standard 6-Seater, satu kerusi penggalak disediakan dengan caj tambahan RM10 untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun, manakala kerusi penggalak Koopers Boost Fix ditawarkan sebagai ciri nilai tambah percuma bagi perjalanan Grab EV Exec.
Grab memaklumkan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada ekosistem keselamatannya yang lebih luas, merangkumi ciri seperti AudioProtect dan Women-Only Rides (Beta) dalam usaha berterusan meningkatkan aspek keselamatan di seluruh platform berkenaan. – 17 November, 2026
