◉ HEADLINES

Kandungan patriotik di media sosial perlu dirancakkan: Fahmi

Secara fizikalnya kebanyakan tempat telah mula mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus memberi petanda luaran bahawa semangat patriotisme masih wujud

3:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kandungan yang berbentuk patriotik perlu dirancakkan lagi menerusi semua platform media sosial, sempena meraikan Bulan Kebangsaan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pada masa ini, kandungan berunsur patriotik di media sosial terutama di aplikasi TikTok, dilihat masih kurang memberangsangkan.

“Perkara ini, terutama dalam kalangan anak muda mungkin perlu kita rancakkan. Mungkin di pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kita akan berhubung dengan beberapa pempengaruh.

“Ini supaya mereka juga mengambil peluang untuk menyatakan rasa cinta terhadap negara dan diharap boleh menjadi ikutan ramai anak muda lain, yang menggunakan aplikasi atau platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata secara fizikalnya kebanyakan tempat telah mula memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus memberi petanda luaran bahawa semangat patriotisme masih wujud ketika ini.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmiannya berkata rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jati diri yang tinggi dan penghayatan semangat patriotisme yang mendalam.

Beliau berkata saban tahun pelbagai idea kreatif dizahirkan masyarakat dalam meluahkan rasa cinta terhadap negara, serta dikongsi menerusi pelbagai platform terutamanya media sosial.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan dan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my atau Facebook, Instagram dan Twitter @Merdeka360.

Mengenai pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang hari ini, Fahmi berkata konvoi itu akan menjelajah ke seluruh negara dengan membawa semangat kenegaraan dalam setiap derap langkah kesemua destinasi yang dituju.

“Besar harapan saya agar program ini menjadi lambang perpaduan dan persaudaraan dalam usaha menyuburkan semangat patriotik pelbagai lapisan masyarakat,” katanya. – 4 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Budget 2026: RM580m boost for sports development

Funding will strengthen elite programmes, prepare for the 2027 SEA and Asean Para Games, and upgrade facilities while expanding support for para-athletes

‘Tambah spot busking di Bukit Bintang’ Bob Sentuhan Buskers mohon DBKL beri pertimbangan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menambah lagi ‘spot’ untuk pemuzik jalanan di ibu kota mengadakan persembahan terutama di kawasan sekitar Bukit Bintang yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Noki K-Clique sedang mengenali seorang pelakon wanita, rancang berkahwin usia 30 pada tahun hadapan

Melihat rakan-rakan seperjuangan lain sudah mendirikan rumahtangga, ia membuatkan rapper dan juga pelakon, Noki K-Clique berasa tertekan serta mahu mengikut jejak langkah yang sama

◉ Related