Sokongan pengundi Cina masih kukuh, PN akan ditolak di Pulau Pinang kerana PAS

Sukar untuk DAP kehilangan kerusi yang mereka tandingi di Pulau Pinang kerana ia merupakan kubu kuat parti berkenaan: penganalisis

10:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa DAP bakal kehilangan kira-kira 20 peratus sokongan kaum Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang adalah tidak tepat malah penganalisis melihat sukar bagi parti lain mencabar atau menggugat kedudukan parti itu di negeri tersebut.

Menurut pemerhati keselamatan dan politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof, peluang untuk Perikatan Nasional (PN) mencabar atau menggugat kedudukan DAP di Pulau Pinang, khususnya sokongan kaum Cina dilihat hampir tiada, bersandarkan kepada pola sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) serta sentimen penolakan kaum itu terhadap PAS.

“Kemungkinan sokongan untuk negeri lain itu ada perubahan namun di Pulau Pinang, sukar untuk DAP kehilangan kerusi yang mereka tandingi, susulan negeri itu merupakan kubu kuat parti berkenaan.

“Jadi bagi saya, PN, khususnya Gerakan hampir tiada langsung peluang. Parti itu dilihat hanya akan berhujah bersandarkan parti itu bertanggungjawab memajukan Pulau Pinang dari 1969 sampai 2008, ketika memerintah sebagai parti utama di Pulau Pinang tetapi ketika itu, ia masih bersama Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.

Menurut penganalisis politik, Nur Ashikin Yusof, peluang untuk PN mencabar atau menggugat kedudukan DAP di Pulau Pinang, khususnya sokongan kaum Cina dilihat hampir tiada, bersandarkan kepada pola sokongan pengundi Cina pada PRU-15 lalu. – Gambar fail, 5 Ogos, 2023

Dalam pada itu, Ashikin berkata, keberadaan Gerakan bersama PAS dilihat telah menghakis keyakinan pengundi Cina untuk menyokong mereka, terutama selepas melihat tindakan PAS yang dianggap bersikap perkauman dan membawa politik yang keras.

“Terlalu sukar untuk orang Cina khususnya di Pulau Pinang memberi sokongan kepada calon PN, walaupun ada Gerakan, disebabkan keberadaaan PAS di dalam gabungan itu yang dilihat gemar memainkan sentimen agama dan bangsa yang boleh menyebabkan perpecahan berlaku.

“Jadi, dalam keadaan sekarang ini, Gerakan kena ada satu wacana atau asas utama yang menyebabkan mereka boleh berhujah kepada masyarakat Cina mengapa parti itu ‘bersekongkol’ dengan PAS dalam satu pakatan yang agak ekstrem. Politik perkauman PAS bawa mungkin dilihat agak berhaluan kanan dan orang Cina menolak politik sebegini,” katanya.

Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying sebelum ini mendakwa sebilangan besar pengundi Cina mungkin mengundi PN, tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak pada 12 Ogos ini.

Hui Ying juga mendakwa, tinjauan itu menyebut PN dapat menembusi Pulau Pinang dan gabungan itu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menawan Negeri Sembilan serta meraih lebih banyak kerusi di Selangor.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kenyataan itu membuktikan keperluan untuk partinya mempergiatkan usaha dan kempen menjelang PRN bagi memastikan tiada sebarang kejutan dilakukan oleh pengundi cina.

“Ini kemungkinan hanya satu panduan di samping kita tidak tahu berapa ramai telah ditemu bual, apakah soalan ditanya, namun, kita ambil maklum sentimen (peratusan pengundi cina menurun).

“Ini adalah tinjauan yang dilakukan secara umum. Bagaimanapun, ini juga membuktikan kita tidak boleh rasa terlalu selesa. Jika sambutan merosot, kita akan tingkatkan lagi usaha, pergiatkan kempen kerana kita tak mahu ambil mudah,” katanya. – 5 Ogos, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Related