HEADLINES

Saya tak tercabar populariti Sanusi, orang Kedah memang ada kualiti: Peja

Peja menegaskan populariti Sanusi memberi satu nilai tambah yang amat baik kepada PN

9:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak sedikit pun tercabar dengan populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang agak ‘melambung’ ketika ini.

Sebaliknya, beliau berkata, populariti Sanusi memberi nilai positif kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“No (Tidak tercabar). Saya fikir apa yang Sanusi berikan kepada PN satu nilai tambah yang amat baik.

“Saya harap beliau kekal dengan identitinya yang begitu dekat di hati rakyat,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Scoop.

Menurutnya, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berjaya menjelaskan kepada rakyat mengenai sesuatu isu dengan amat mudah.

“Saya fikir orang Kedah ini memang mungkin ada kualiti sedemikianlah. Dulu isu-isu besar kalau kita nak bercakap tentang masalah 1MDB contohnya, kalau dapat penerangan dari orang ekonomi kita tak berapa jelas.

“Tapi kalau Tun Dr Mahathir (Mohamad) terangkan kita boleh faham. Mungkin orang tu dah memang pandai nak mengulas sesuatu isu berat untuk orang kampung faham,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berjaya menjelaskan kepada rakyat mengenai sesuatu isu dengan amat mudah. – Gambar dari Facebook, 8 Ogos, 2023

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja mendedahkan golongan bukan Melayu mula memberikan sokongan kepada PN selepas kecewa dengan tindakan kerajaan hari ini.

“Setakat ini mereka masih lagi takut dengan PAS yang berada dalam koalisi PN. Tetapi secara perlahan-lahan saya lihat sudah ada perkembangan baik di dalam ceramah kelompok dan ceramah besar. Saya nampak sudah ada penerimaan kaum bukan Melayu hadir bersama ingin mendengar apa yang cuba kami sampaikan.

“Dalam jentera PRN, saya kagum melihat Gerakan yang banyak didominasi kaum bukan Melayu mula keluar dengan sayap bersekutu dalam Bersatu dan sayap Dewan Himpunan Penyokong (DHPP), termasuk golongan bukan ahli dah mula nak jadi jentera sukarelawan, bantu kerja kempen PRN. Good sign (Petanda positif) Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-olah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai Taliban, Faizal berkata, ia satu taktik untuk menakut-nakutkan kaum bukan Melayu supaya tidak mengundi parti berkenaan.

“Kalau kita mengikut kepimpinan Rasulullah SAW sebenar, sewaktu hayat baginda di Madinah, ia dapat memberi kesejahteraan kepada seluruh dunia.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)) apabila mereka (PH) melihat orang Melayu beri sokongan kepada PN, maka mereka sekali lagi cuba menakut-nakutkan bukan Melayu dengan menyebut berlakunya green wave (gelombang hijau).

“Ini sebenarnya untuk menakut-nakutkan kaum bukan Melayu supaya mereka dapat kaitkan antara gelombang hijau dengan pemerintahan secara Taliban ini, yang mana mereka sendiri tidak faham apa kaitan itu sebenarnya,” katanya. – 8 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related