HEADLINES

MAHB tamatkan kontrak Pestech bernilai RM742.95 juta

Penamatan itu disebabkan Pestech tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek

7:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) telah menamatkan kontrak Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech) untuk membekal, mereka bentuk dan pemasangan penggerak penumpang automatik (APM) atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB dalam satu kenyataan berkata penamatan itu disebabkan Pestech tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek pada tarikh akhir yang ditetapkan.

“Keputusan ini diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM itu oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.

“Pestech didapati melanggar tanggungjawabnya di bawah kontrak dan gagal untuk membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Mengimbas kembali, Pestech telah dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor reka bentuk dan binaan untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA bernilai RM742.95 juta pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood berkata projek berkenaan amat penting bagi memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang yang melalui KLIA.

“Fokus kami adalah aerotrain disiapkan tepat pada masanya dan mematuhi kawalan kualiti yang ketat dan memenuhi piawaian keselamatan projek tanpa kompromi terhadap operasi dan proses tadbir urus kami,” katanya.

MAHB berkata berikutan notis penamatan tersebut yang didahului dengan notis ingkar kepada Pestech, MA Sepang akan dapat memulakan semula dan menyiapkan kerja-kerja melalui penglibatan pihak lain yang berkaitan dengan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual.

Syarikat itu berkata ia tetap komited untuk memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk meminimumkan potensi kelewatan kepada projek APM.

Berkuat kuasa serta-merta, MA Sepang akan mempercepatkan perundingan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sedia ada yang terlibat dalam Projek APM itu untuk kesinambungan dan bagi mengurangkan sebarang kelewatan.

Ia termasuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan yang terlibat dalam projek penggantian landasan dan sistem kereta api dan mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan boleh dipercayai untuk memastikan kemajuan konsisten dalam semua komponen projek. – 16 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related